Berita Hari Ini

Kurang Kenalan Antara Ciri-Ciri Akaun Palsu – SKMM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan akaun palsu di media sosial yang sengaja diwujudkan untuk tujuan penipuan dan hasutan.

Harian Metro melaporkan SKMM dalam satu kenyataan berkata, antara ciri-ciri untuk mengenal pasti akaun palsu adalah baru diaktifkan dalam tempoh beberapa bulan.

Katanya, akaun baharu kerap diwujudkan bagi mengaburi jejak daripada pihak berkuasa atau pembongkaran oleh mangsa penipuan sebelum ini.

“Nama pemilik akaun seolah-olah bukan nama sebenar dengan menggunakan nama samaran atau orang terkenal, manakala maklumat peribadi juga meragukan dengan biodata yang tidak realistik,” menurut kenyataan itu.

Menurut SKMM, akaun palsu mempunyai senarai rakan yang sedikit atau tiada langsung, kerana tujuan akaun dibuka bukan untuk perkenalan jangka panjang, malah senarai rakan juga mungkin akaun palsu.

“Akaun palsu juga boleh dikenal pasti melalui terlalu banyak ‘likes’ hantaran orang lain di pelbagai topik dan kumpulan namun terlalu sedikit ‘likes’ di halaman sendiri,” menurut kenyataan itu.

SKMM berkata, penjenayah siber dikesan menggunakan pelbagai taktik licik untuk menjalankan penipuan, termasuk ada yang menyamar menggunakan profil ahli keluarga, kenalan mangsa, orang kenamaan atau individu, serta syarikat terkenal.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menjauhkan diri daripada memperkatakan isu sensitif berkaitan agama, kaum, institusi diraja dan politik, yang cuba diapi-apikan oleh pemilik akaun palsu bagi melindungi diri daripada tindakan undang-undang, sekiranya didapati terbabit dengan kenyataan berunsur fitnah, hasutan atau menggugat ketenteraman awam.

“SKMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan lain boleh mengambil tindakan undang-undang, sekiranya terdapat salah guna Internet dan media sosial untuk tujuan jenayah atau hasutan.

“Orang ramai perlu sentiasa berhati-hati dan peka kepada percubaan menipu oleh mereka yang tidak mempedulikan undang-undang dan ketenteraman awam,” menurut kenyataan itu lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");