Berita Hari Ini

Laporan Dakwa Lebih 30,000 PKS Tutup Operasi Sejak PKP Tidak Tepat

KUALA LUMPUR: Laporan yang mendakwa lebih 30,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menutup operasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), adalah tidak tepat.

BH Online melaporkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ketika menjelaskan perkara itu berkata jumlah keseluruhan syarikat dan perniagaan yang menutup operasi sejak 18 Mac hingga 9 Jun lalu ialah sebanyak 9,675, manakala bagi tempoh 10 Jun hingga September pula 22,794.

“Merujuk kepada jawapan bertulis Parlimen pada 5 November lalu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyatakan bahawa jumlah itu berdasarkan statistik dikeluarkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Ini menunjukkan bahawa dalam tempoh Mac hingga September lalu, ia bukan hanya merujuk kepada syarikat PKS menutup operasi tetapi merangkumi keseluruhan syarikat berdaftar dengan SSM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa lebih 30,000 syarikat PKS terpaksa menutup operasi sejak pelaksanaan PKP pada Mac lalu.

Berdasarkan statistik SSM, Wan Junaidi memaklumkan, sebanyak 82,555 perniagaan baharu didaftarkan dari 1 April hingga 19 Julai lalu.

“Ini menunjukkan dalam situasi pandemik COVID-19 kini, ia tidak menghalang sesiapa saja untuk menceburi bidang perniagaan tetapi perlu mengikut kehendak semasa dan menggunakan platform e-dagang sebagai medium pemasaran produk atau perkhidmatan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, MEDAC sentiasa mengambil langkah proaktif dan menyarankan supaya usahawan berfikiran positif dalam menghadapi situasi penularan COVID-19.

“Usahawan disaran bersiap sedia kemaskan diri dan perniagaan dengan perkongsian pengetahuan disediakan secara percuma oleh agensi kerajaan, untuk mendapatkan cara baharu menjalankan perniagaan.

“Selain itu, mengadaptasi perniagaan dengan norma baharu, memperkasakan perniagaan melalui digitalisasi dan memperhebatkan strategi promosi.

“PKS juga disaran mengekalkan data maklumat dan perhubungan dengan pelanggan, selain mengekalkan jenama produk supaya pelanggan tidak melupakan produk mereka selepas tempoh PKP,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");