Perak Hari Ini

Lebih 500 Kuil Di Perak Disanitasi Menjelang Deepavali

IPOH – Menjelang sambutan Deepavali pada esok, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak telah melakukan kerja-kerja sanitasi di lebih 500 kuil di seluruh negeri ini.

Menurut Pegawai Perancangan Pusat Gerakan COVID-19 JBPM Perak, Syed Azman bin Syed Ghazali daripada angka tersebut dianggarkan sekitar 60 kuil di bandar raya ini telah dijalankan kerja-kerja sanitasi.

Katanya ia dilaksanakan bagi mengekang sebarang kemungkinan berlakunya penularan COVID-19 susulan perayaan yang akan disambut pengaut agama Hindu itu esok.

“Untuk keseluruhan setakat ini, sebanyak 1129 premis pelbagai jenis telah dilakukan proses sanitasi yang mana ia membabitkan premis seperti balai polis, premis kerajaan, depot imigresen dan sebagainya,” katanya.

Jelas beliau kerja-kerja sanitasi yang membabitkan enam anggota pada satu-satu masa itu memberi fokus terhadap kawasan yang berada pada zon merah, jingga dan kuning.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika melakukan tinjauan proses sanitasi di Kuil Kallumalai Arulmigu Sri Subramaniar di Gunung Cheroh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Negeri, Mohamad Yunus Abu.

Dalam pada itu, Mohamad Yunus menasihatkan agar pengunjung yang akan beribadat di kuil-kuil yang berhampiran dengan gunung batu kapur agar lebih berhati-hati dan peka.

Katanya ia bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini seperti kejadian tanah runtuh susulan Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh yang sedang melanda negara.

Sementara itu beliau berkata JBPM Perak bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan susulan perubahan cuaca tersebut.

Selain kekuatan 80 peratus anggota dan pegawai di setiap balai, seramai 40 anggota dan pegawai Pasukan Khas Pelbagai Kemahiran (MUST) dan 40 dari Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) turut bersedia untuk memberi sebarang bantuan kecemasan kepada orang ramai.

“JBPM Perak telah bersiap sedia untuk menggerakkan pasukan kita dalam menghadapi musim tengkujuh ini. Selain itu kita juga memastikan kelengkapan logistik kita berada dalam keadaan optimum.

“Setakat ini kita mempunyai 51 bot yang mana ia bersedia 24 jam untuk di gerakkan ke mana-mana lokasi yang berlaku kecemasan,” katanya.

Ujarnya lagi antara kawasan tumpuan dalam musim tersebut adalah seperti di Hulu Perak dan Hilir Perak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");