Perak Hari Ini

Lebih Baik Jika Tiada Pertandingan Di Gerik – Aznel

GERIK – Cadangan untuk tidak diadakan pertandingan dengan mana-mana parti selain UMNO atau Barisan Nasional (BN) sekiranya Pilihanraya Kecil (PRK) Gerik diadakan adalah yang terbaik.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Gerik, Datuk Aznel Ibrahim berkata ia berikutan perkembangan penularan COVID-19 dalam negara yang masih belum reda.

“Jika semua parti memikirkan masalah COVID-19 dan kepentingan orang ramai, mungkin kerusi ini yang dulu dimenangi BN untuk mempertimbangkan tiada pertandingan.

“Sama ada perlu ada PRK atau tidak, ia demi memastikan penularan COVID-19 dapat diminimumkan,” katanya kepada pemberita, di sini, pada Selasa.

Terdahulu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilaporkan menggesa parti lain supaya tidak meletakkan calon untuk melawan UMNO PRK Gerik berikutan kematian Ahli Parlimennya , Datuk Hasbullah Osman.

Namun, Aznel yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu berkata UMNO Gerik sentiasa bersiap-sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk sekiranya wujud pertandingan pada PRK itu nanti.

“Pada dua bulan lalu Allahyarham sebagai Ketua Bahagian UMNO telah menyiapkan gerak kerja jentera bagi menghadapi Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) atau PRU yang lebih awal.

“Justeru kami di Gerik sudah menyusun jentera dari peringkat Pengerusi Pilihanraya sehingga ke Ahli Jawatankuasa serta Ketua Pusat Daerah Mengundi.

“Allahyarham telah meninggalkan gerak kerja terbaik untuk saya meneruskannya. Jadi UMNO Gerik memang sudah membuat persiapan awal,” jelas beliau.

Tambahnya sekiranya berlaku pertandingan dengan parti lain, beliau yakin gabungan penyokong dari UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan memberi sokongan kepada calon yang akan bertanding kelak.

Ketika ditanya sama ada sekiranya beliau bersedia untuk dicalonkan, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak itu berkata beliau akan menyerahkan segala keputusan kepada pucuk pimpinan parti dan akur terhadap sebarang keputusan dibuat.

“Di Gerik dahulu kita pernah didatangi calon luar iaitu Datuk Tan Lian Hoe. Justeru saya yakin pengundi dan pemimpin di Gerik cukup matang untuk menerima sebarang keputusan pucuk pimpinan.

“Bagi saya kepimpinan akan memikirkan dari semua segi bagi memastikan Parlimen Gerik terus kita menangi dan harapan saya dengan adanya gabungan persefahaman antara UMNO, PAS dan BERSATU, kita mampu menang dengan lebih berjaya,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, Parlimen Gerik yang terletak di Hulu Perak mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Temenggor dan Pengkalan Hulu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");