Perak Hari Ini

Lelaki Warga Myanmar Maut, Kepala Tersepit Mesin

IPOH – Seorang lelaki warga Myanmar maut dalam satu kemalangan di sebuah kilang pembuatan sarung tangan di sini selepas kepalanya tersepit di antara dua mesin semalam.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak dalam satu kenyataan memaklumkan mangsa yang merupakan operator di bahagian pengeluaran kilang itu dilaporkan maut pada jam sekitar 4 petang hari sama.

Katanya sebelum berlaku insiden, mangsa yang berusia 35 tahun itu sedang menjalakan kerja mencuci lebihan sarung tangan yang melekat pada acuan.

“Sistem beroperasi secara automatik  di jalur pengeluaran tersebut. Mangsa telah masuk ke bahagian bawah mesin ‘transfer line’ di jalur pengeluaran tersebut.

“Ia kemudian menyebabkan kepala mangsa tersepit di antara mesin ‘transfer line’ dan ‘chargement line’.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Susulan itu JKKP memaklumkan siasatan awal dijalankan selain arahan larangan kacau ganggu terhadap jalur pengeluaran tersebut dikeluarkan sehingga siasatan lanjut dan tindakan penambahbaikan diambil pihak majikan.

Katanya satu notis larangan telah dikeluarkan kepada majikan tersebut kerana gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja di bahagian mesin tersebut.

Tambahnya lagi tindakan perundangan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

“Majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum menjalankan aktiviti kerja,” katanya.

Ujarnya lagi insiden seperti itu dapat dielakkan sekiranya majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian ‘Hazard’, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");