Berita Hari Ini

Mahkamah Persekutuan batal saman kedua balu PI Bala terhadap Najib, Rosmah

Balu mendiang penyiasat persendirian P Balasubramaniam gagal mengemukakan kembali saman kedua terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan enam lagi.

Ini berikutan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kebenaran untuk merayu yang difailkan oleh A Santamil Selvi terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan samannya.

Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Tan Sri Rohana Yusuf membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan pihak-pihak terlibat yang dijalankan menerusi sidang video disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Dua lagi hakim ialah Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Rosmah ketika dihubungi, berkata permohonan kebenaran merayu itu ditolak tanpa perintah berhubung kos.

Pada 25 Julai 2018, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Datuk Suraya Othman dan Datuk Stephen Chung Hian Guan membenarkan rayuan Najib, Rosmah dan enam lagi untuk membatalkan saman kedua yang difailkan terhadap mereka oleh Santamil Selvi.

Enam lagi ialah adik-beradik Najib iaitu Datuk Mohd Nazim dan Datuk Ahmad Johari serta peguam Tan Sri Cecil Abraham dan anaknya Sunil Abraham, peguam Arulampalam Mariampillai dan Pesuruhjaya Sumpah Zainal Abidin Muhayat.

Dalam keputusannya, Tengku Maimun berkata Santamil Selvi (gambar, bawah) memfailkan saman itu melangkaui batas masa iaitu lebih daripada tempoh enam tahun.

“Kami bersetuju bahawa memfailkan saman kedua berdasarkan fakta yang sama, melibatkan pihak-pihak yang sama selepas saman pertama dibatalkan adalah penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya.

Beliau juga berkata mahkamah tidak boleh menerima hujah Santamil Selvi bahawa wanita itu tidak boleh memfailkan saman tersebut lebih awal kerana dia dan keluarganya berada di luar negara.

Pada 23 Julai 2017, Santamil Selvi dan tiga anaknya, B Kishen, B Menaga dan B Reeshi memfailkan saman kedua bagi pihak mendiang suaminya terhadap lapan individu yang beliau juga namakan sebagai defendan dalam saman terdahulu, mendakwa mereka mengalami kemudaratan yang disengajakan akibat tinggal dalam buangan di India.

Santamil Selvi dan anak-anaknya menuntut gati rugi dengan faedah, mendakwa defendan telah menafikan keluarganya kehidupan normal dan menyebabkan mereka menanggung kerugian kewangan dan bukan kewangan.

Pada 30 Jan 2018, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan lapan defendan untuk membatalkan saman kedua yang difailkan oleh Santamil Selvi.

Pada Jun 2014, Santamil Selvi memfailkan saman mendakwa konspirasi terhadap Najib, Rosmah, Mohd Nazim, Ahmad Johari, Sunil, Cecil, Arulampalam, Zainal Abidin dan ahli perniagaan Deepak Jaikishan.

Kecuali Deepak, saman Santamil Selvi ke atas lapan lagi dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2014 dan dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan pada 2015.

Balasubramaniam yang lebih dikenali sebagai PI Bala merupakan saksi utama perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Balasubramaniam meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Mac 2013, beberapa minggu selepas kembali dari India.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");