Berita Hari Ini

Malaysia Antara Negara Di Dunia Mampu Beri Perkhidmatan kesihatan Percuma Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR – Malaysia adalah di antara negara di dunia yang mampu memberi perkhidmatan kesihatan percuma kepada rakyat dan ianya adalah sesuatu yang patut dibanggakan, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri.

Beliau berkata peruntukan yang disediakan bagi maksud penyediaan perkhidmatan kesihatan ialah dalam lingkungan RM 30.6 billion setahun.

“Setakat ini kerajaan belum bercadang untuk melaksanakan program Insuran Kesihatan (National Health Insurance) merangkumi semua rakyat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini, lapor Bernama.

Beliau menjawab soalan Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) berhubung adakah kerajaan bercadang untuk menubuhkan Insurans Kesihatan atau Kad Kesihatan kepada seluruh rakyat bagi kes penyakit serius atau pembedahan. 

Bagaimanapun, Abd Rahim berkata setakat ini kerajaan juga telah memperkenalkan beberapa inisiatif baru bagi menambahbaik faedah kesihatan kepada rakyat iaitu seperti Skim MySalam yang memberi perlindungan takaful kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berumur 18-65 tahun bagi 45 penyakit kritikal (Critical illness).

Beliau berkata faedah perlindungan MySalam merangkumi pembayaran tunai RM8,000, (sekali seumur hidup) setelah disahkan mengidap salah satu 45 penyakit kritikal yang disahkan oleh doktor hospital kerajaan, tentera dan universiti.

Selain itu, perlindungan MySalam juga termasuk pembayaran hospitalisasi RM50.00 sehari bagi tempoh 14 hari dengan jumlah maksimum RM 700.00 di hospital kerajaan, tentera dan universiti termasuk rawatan COVID-19.

Abd Rahim turut mengulas bahawa kerajaan juga memperkenalkan Skim PEKA B40 (Skim peduli kesihatan untuk B40) di bawah Kementerian Kesihatan yang merangkumi bantuan kewangan secara automatik kepada kumpulan B40 (Penerima Bantuan Sara Hidup) berumur 40 tahun ke atas dan bantuan ini adalah dalam bentuk kos peralatan perubatan (maksimum RM20,000).

Selain itu Skim PEKA B40 juga merangkumi tambang pengangkutan berjumlah maksimum RM1,000 bagi penerima Sabah dan Sarawak dan RM500 bagi Semenanjung Malaysia.

“Kesemua faedah Skim PEKA B40 boleh diperolehi dari kaunter khas di setiap hospital kerajaan dan klinik terpilih,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");