Perak Hari Ini

MyCemas Aplikasi Alternatif Bendung Jenayah Terhadap Kanak-kanak

IPOH – Bagi membantu membendung berlakunya jenayah terhadap kanak-kanak seperti pedofilia dan jenayah culik, sebuah aplikasi telefon mudah alih dibangunkan berfungsi sebagai butang panik.

Melalui aplikasi ‘MyCemas’, pengguna telefon pintar hanya perlu menekan power button atau butang kuasa sebayak tiga kali apabila berlaku situasi cemas.

Secara automatik sistem pada aplikasi tersebut akan menghantar maklumat kecemasan termasuk lokasi, jangka hayat bateri telefon penghantar kepada lebih 10 nombor telefon yang disetkan.

Menurut Ketua Pengarah Teknikal MyCemas, Ridzman Azzahari, malah aplikasi tersebut akan merekodkan segala bunyi persekitaran penghantar kepada penerima sebagai memberi maklumat situasi yang sedang berlaku.

“Kanak-kanak pada masa kini lebih memahami penggunaan telefon pintar, justeru menerusi aplikasi ini ibu bapa boleh mengajarkan anak-anak mereka untuk menggunakannya.

“Hanya perlu tekan pada butang kuasa dan jerit meminta tolong.  Secara automatik semua nombor ahli keluarga yang disetkan akan dapat mengetahui apa yang berlaku.

“Jika cara konvensional, pengguna perlu membuka kunci telefon dan menelefon sebarang nombor. Namun aplikasi ini mampu berfungsi ketika telefon dikunci dan merekod suara tanpa diketahui orang lain di sekeliling,” katanya.

Jelas beliau, aplikasi yang bakal dilancarkan pada Januari 2021 itu dibangunkan bukan sebagai pesaing kepada talian kecemasan yang sedia ada sebaliknya ia sebagai menyediakan saluran alternatif ketika pengguna berdepan detik-detik bahaya.

Katanya lagi MyCemas tidak hanya menyasarkan pengguna kanak-kanak malah pengguna tanpa mengira batasan usia juga boleh menggunakannya.

“Aplikasi ini terhasil apabila sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerap berlaku jenayah terhadap kanak-kanak serta kematian berseorangan dalam kalangan orang dewasa,” jelas beliau.

Tambahnya Perak akan menjadi negeri pertama pelancaran aplikasi sebelum ia bakal diperluaskan ke beberapa negeri lain.

Terdahulu beliau hadir ke majlis pra-pelancaran aplikasi MyCemas di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak,  di sini, hari ini.

Hadir sama, isteri Menteri Besar Perak Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi serta Presiden Pertubuhan Bahu Yang Membantu atau Helping Shoulder, Lilaruzaini Mohd Hussain.

Difahamkan MyCemas dibangunkan dengan kerjasama Helping Shoulder selain disokong Nomee yang juga Pengerusi Food Bank Perak.

Sementara itu Nomee berkata pihaknya menyambut baik usaha MyCemas dalam mengekang jenayah domestik selain berbangga Perak dipilih sebagai lokasi pra-pelancaran.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");