Panasnya Hari Ini

Osman Syor Gaji Wakil Rakyat Potong 10 Peratus

JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian mencadangkan semua wakil rakyat negeri itu dipotong gaji sebanyak 10 peratus bagi membantu rakyat terjejas akibat COVID-19.

BH Online melaporkan Osman yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, langkah itu bagi menunjukkan solidariti dan keprihatinan terhadap rakyat negeri ini terutama golongan dibuang kerja, terjejas pendapatan sejak wabak berkenaan melanda, selain gelandangan. 

Katanya, Johor pernah menjadi negeri pertama melaksanakan pemotongan gaji semua anggota EXCO sebanyak 10 peratus ketika beliau menjadi Menteri Besar, dua tahun lalu. 

“Menjelang Belanjawan Johor 2021 yang bakal dibentang minggu hadapan, saya mengesyorkan pemotongan gaji sebanyak 10 peratus semua 56 wakil rakyat negeri ini sebagai tanda keprihatinan kita terhadap nasib rakyat yang kesusahan. 

“Saya bersedia dipotong gaji bagi membantu rakyat. Dianggarkan dana sebanyak kira-kira RM54,000 dapat dikumpul setiap bulan dengan pemotongan gaji 10 peratus iaitu RM900 daripada setiap 56 wakil rakyat negeri. 

“Mungkin wakil rakyat boleh dipotong gaji 10 peratus, EXCO pula 15 peratus manakala MB dipotong 20 peratus gaji.

“Jika mahu nilai (potongan gaji) yang sama rata pun boleh juga tetapi jangan sampai membantah langkah ini untuk membantu rakyat sekali gus menunjukkan keprihatinan kita, “katanya dalam sidang media di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kempas, semalam. 

Rabu lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan supaya mereka yang berpendapatan tinggi dalam sektor awam atau swasta menyumbang 10 peratus daripada gaji mereka untuk membantu golongan miskin semasa pandemik COVID-19 ini.

Beliau dilaporkan berkata, wang itu boleh digunakan untuk membekalkan makanan kepada penganggur dan mereka yang tidak berpendapatan.

Pada 30 Mei 2018 lalu, Johor dilaporkan menjadi negeri pertama mengikut jejak kerajaan Persekutuan ketika itu dengan melaksanakan pemotongan gaji semua anggota EXCO sebanyak 10 peratus.

Mengulas lanjut, Osman berkata, beliau akan membawa syor pemotongan gaji wakil rakyat itu pada sesi perbahasan Belanjawan Johor 2021 ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bersidang mulai 26 November hingga 6 Disember. 

Ditanya sama ada Johor perlu mengikut jejak langkah Kelantan yang meluluskan kenaikan gaji wakil rakyat negeri itu dalam persidangan, Osman berkata, sekarang bukannya masa yang sesuai untuk berbuat demikian. 

“Sekarang bukan masa sesuai untuk sebarang syor menaikkan gaji. 

“Jika ada cadangan untuk naikkan gaji wakil rakyat Johor, saya orang pertama yang akan bantah, ” katanya. 

Osman berkata, kerajaan Johor boleh meneruskan pemberian insentif atau token kepada penjawat awam negeri.

“Bagi saya itu (pemberian insentif atau token) bukan masalah kepada kerajaan negeri walaupun ketika ini Johor turut mengalami penguncupan pendapatan. 

“Ini kerana penjawat awam terutama bergred rendah turut terkesan dengan keadaan ekonomi semasa, malah ada penjawat awam barisan hadapan bertungkus-lumus sejak wabak COVID-19 melanda dan mereka perlu dihargai. 

“Bagi anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) pula, pendapatan agensi mereka boleh digunakan bagi pemberian insentif atau token,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");