Berita Hari Ini

Panel Tujuh Hakim Mahkamah Persekutuan Dengar Rayuan MP Kepong

PUTRAJAYA – Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan Ahli Parlimen (MP) Kepong Lim Lip Eng pada Mac tahun depan untuk memutuskan persoalan undang-undang sama ada parti politik boleh memfailkan saman fitnah terhadap individu.

Bernama melaporkan, Lim yang diwakili peguam Guok Ngek Seong, dalam mesej pesanan memberitahu Bernama pendengaran rayuan itu ditetapkan pada 4 Mac tahun depan.

Beliau berkata panel yang terdiri daripada tiga hakim Mahkamah Persekutuan telah bersetuju tiga minggu yang lepas untuk permintaan panel hakim yang lebih besar mendengar rayuan itu.

Pengurusan kes melalui e-Review dijalankan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Azniza Mohd Ali hari ini.

Pada 12 Mac lepas, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed membenarkan permohonan Lim untuk kebenaran meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung saman fitnah yang difailkan terhadapnya oleh MCA.

Mahkamah membenarkan persoalan undang-undang untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan. Isu perundangan itu ialah sama ada sebuah parti politik boleh mempertahankan saman fitnah berdasarkan keputusan dalam kes Goldsmith menentang Bhoyrul (1998) dan Rajagopal menentang Jayalalitha (2006).

Pada Julai 2017, Setiausaha Agung MCA ketika itu, Ong Ka Chuan, telah memfailkan saman fitnah terhadap Lim berhubung kenyataan yang dibuat dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen pada 15 Mac 2016 berkaitan dakwaan mengenai kerajaan dan pengagihan dana awam untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Ong mendakwa kenyataan Lim telah mencalarkan reputasi MCA dengan serius sambil menambah bahawa parti itu menuntut RM100 juta sebagai ganti rugi am dan teladan.

Pada 27 Feb 2018, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Lim untuk membatalkan saman itu dan beliau turut gagal di Mahkamah Rayuan selepas rayuannya ditolak atas alasan terdapat isu yang perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Pada prosiding mahkamah untuk kebenaran rayuan itu, peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Lim berhujah sebuah pertubuhan berdaftar, termasuk parti politik, tidak boleh memfailkan saman fitnah kerana ia tidak memiliki reputasi seperti seorang individu.

Peguam Ang Boon Heng yang mewakili Ong berhujah persoalan undang-undang dalam isu itu telah diselesaikan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan dua tahun lepas dalam kes fitnah yang difailkan Kerajaan Sarawak terhadap Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen.

Mahkamah Persekutuan, dalam kes itu, memutuskan kerajaan boleh mengemukakan saman fitnah terhadap individu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");