Berita Hari Ini

Penggunaan 2 vaksin influenza Korea Selatan diteruskan, kata KKM

Kementerian Kesihatan (KKM) memberi lampu hijau kepada 2 vaksin influenza Korea Selatan kurang seminggu selepas Malaysia menghentikan penggunaannya atas faktor keselamatan.

Minggu lalu, penggunaan 2 vaksin itu – SKYCellflu Quadrivalent dan VaxigripTetra – dihentikan selepas kematian beberapa individu yang menerima suntikan selesema di Korea Selatan.

Singapura turut menghentikan penggunaan vaksin tersebut.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM sudah menjalankan penilaian risiko terperinci bagi 2 vaksin terlibat berdasarkan maklumat diterima dari Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA),dan badan kawal selia antarabangsa yang lain.

Beliau berkata, KDCA mengesahkan kebarangkalian sangat rendah untuk mengaitkan vaksin influenza itu sebagai punca kematian seperti yang dilaporkan.

Katanya, siasatan bagi 72 daripada 83 orang yang menerima vaksin itu dan kemudiannya maut di Korea Selatan menunjukkan punca kematian mereka disebabkan penyakit sedia ada dihidap individu berkenaan atau sebab lain yang tiada hubung kait dengan vaksin itu. Punca kematian 11 lagi individu masih dalam siasatan.

“KDCA juga mengesahkan tiada jenama, pengilang atau nombor kelompok vaksin tertentu yang boleh dikaitkan dengan kematian itu.”

Hisham berkata, pemeriksaan KKM turut mendapati semua vaksin influenza, termasuk 2 jenama vaksin itu mematuhi standard kualiti ditetapkan.

“Hasil semakan lanjut juga menunjukkan tiada kes kematian yang dilaporkan susulan pemberian mana-mana vaksin influenza di Malaysia..

“Kesan buruk yang dilaporkan merupakan kesan advers yang biasa berlaku serta didokumentasikan. Oleh itu, KKM tidak mengesan sebarang isu kualiti atau keselamatan yang memerlukan tindakan lanjut.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");