Perak Hari Ini

Perak Cadang Wujudkan Dua Pusat Berisiko Rendah Pesakit COVID-19

IPOH – Kerajaan Perak mencadangkan agar diwujudkan dua Pusat Berisiko Rendah Pesakit COVID-19 iaitu masing-masing satu di Bandaraya ini dan di selatan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata penyediaan fasiliti itu dibuat bagi mengurangkan kesesakan hospital dalam merawat pesakit yang dijangkiti wabak tersebut.

Jelasnya menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Khas Negeri pada semalam, kerajaan  negeri telah mengusulkan perkara itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi ia diwartakan.

“Pusat tersebut akan menempatkan pesakit positif COVID-19 berisiko rendah seperti yang tidak mengalami sebarang gejala batuk, demam dan sebagainya.

“Kita mencadangkan kepada MKN agar tempat itu mampu menyediakan 160 katil pesakit. Jika MKN telah bersetuju maka kita akan memulakan operasi pusat itu segera,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri berkemungkinan akan menambah bilangan Pusat Berisiko Rendah Pesakit COVID-19 ke kawasan lain bergantung kepada keperluan dan situasi COVID-19 semasa.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Projek Khas Tani COVID-19 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata sebuah pusat sehenti telah diwujudkan di Taman Meru 2C, di sini bagi memudahkan penduduk di Zon B dan C mendapatkan barangan asas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang akan bermula esok.

Jelas beliau barangan asas termasuk lampin bayi turut disediakan di situ bagi memudahkan urusan penduduk yang terbabit meneruskan kelangsungan kehidupan sepanjang tempoh PKPD itu.

“PKPD perlu dilaksanakan di situ setalah kita mendapati jumlah mereka yang positif COVID-19 meningkat begitu mendadak.

“Disebabkan kawasan itu mempunyai kepadatan penduduk kita khuatir wabak itu boleh menular dengan cepat terutama di daerah Kinta, khususnya di Ipoh. Seterusnya kita bimbang kesannya akan menjejaskan pentadbiran kerajaan dan ekonomi.

“Disebabkan itu mengapa  Jawatankuasa Kerja Keselamatan Khas Negeri mencadangkan kepada MKN agar dilaksanakan PKPD di kawasan terbabit,” jelasnya.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata kerajaan memutuskan agar perlaksanaan PKPD di Zon B dan C, Taman Meru 2C,  selama 14 hari bermula 20 November.

Beliau juga dilaporkan berkata perlaksanaan itu akan membabitkan 2,288 penduduk dan 572 rumah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");