Berita Hari Ini

Pertumbuhan pinjaman dijangka terencat, OPR mungkin kekal 1.75%

Peningkatan kes COVID-19 dan penyambungan semula bayaran pinjaman mungkin akan melemahkan jumlah pertumbuhan pinjaman secara keseluruhan, di tengah-tengah pengembangan pinjaman yang tidak banyak berubah pada September lepas.

Menurut firma penyelidikan Kenanga Research, lonjakan kes tempatan COVID-19 yang telah menyebabkan langkah-langkah sekatan baharu di beberapa kawasan, kemungkinan akan merencatkan pemulihan ekonomi.

Ini menyebabkan pemulihan keyakinan yang tidak sekata di kalangan isi rumah dan perniagaan, yang akan mengehadkan pertumbuhan pinjaman.

Oleh itu, firma tersebut mengekalkan ramalan pertumbuhan pinjaman antara 1.0 peratus dan 2.0 peratus tahun ini berbanding 3.9 peratus pada tahun sebelumnya.

“Kami menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

“Bagaimanapun, disebabkan penguatkuasaan semula sekatan pergerakan dan peningkatan kes COVID-19, kami percaya pengurangan OPR boleh berlaku lagi sekiranya perlu,” katanya dalam satu nota hari ini.

Kenanga Research berkata kesan penamatan moratorium pinjaman pada September tidaklah seteruk seperti yang dijangkakan.

Pertumbuhan pinjaman industri berada pada 4.4 peratus menjelang akhir Ogos dan September. Berdasarkan segmen, pinjaman isi rumah menokok daripada 4.8 peratus dari tahun ke tahun pada Ogos 2020 kepada 5.2 peratus dari tahun ke tahun pada September 2020.

Ini mengimbangi kelembapan pertumbuhan pinjaman perniagaan daripada 3.3 peratus dari tahun ke tahun pada Ogos 2020 kepada 2.7 peratus dari tahun ke tahun pada September 2020.

Pada September lepas, sistem pinjaman terjejas kasar (GIL) turun 6.0 peratus, liputan kerugian pinjaman (LLC) melonjak kepada 105 peratus berbanding hanya 81 peratus pada hujung Dis 2019, manakala kecairan adalah mencukupi dengan pertumbuhan deposit dari tahun ke tahun pada 5.9 peratus.

Selain itu, Kenanga Research berkata nisbah pinjaman sistem kepada deposit (LDR) berkurangan kepada 87 peratus (Disember 2019: 89 peratus), manakala nisbah liputan mudah tunai (LCR) naik kepada 152 peratus daripada 149 peratus pada akhir 2019; dan purata CET-1 mengukuh sebanyak 30 mata asas sejak hujung 2019 kepada 14.6 peratus selepas bank memantapkan modalnya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");