Perak Hari Ini

Pesawah Buntu Padi Sudah 3 Hari Tenggelam

BAGAN SERAI – Lebih 10 pesawah di Parit Air Itam khuatir menanggung kerugian apabila padi yang baru sebulan ditanam, ditenggelami banjir sejak tiga hari lalu.

Pesawah, Arbain Sanang, 61, berkata dianggarkan lebih 12 hektar sawah di kampung itu tenggelam dan berisiko besar padi akan mati sekiranya air banjir tidak surut sekali gus akan menyebabkan pesawah kerugian.

“Saya mengusahakan lebih 2.4 hektar sawah padi dan sekiranya semua tanaman ini mati, saya akan menanggung kerugian lebih RM15,000.

“Itu tidak termasuk kos membeli racun, benih, upah membajak, membaja, meracun dan sebagainya.

“Justeru pihak berkaitan diharap dapat mengkaji dan memberikan bantuan wajar kepada pesawah yang terbabit,” katanya kepada media di Parit Air Itam 3,di sini, hari ini.

Hadir sama Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Kampung, Si’ap Geraai.

Katanya banjir ini adalah kali kedua selepas tahun lalu namun pesawah terbabit kecewa apabila bantuan yang diharapkan dari pihak berkaitan tidak diterima.

“Tahun lalu kejadian sama berlaku dan kami amat kecewa kerana tiada sebarang bantuan diterima dari pihak berkaitan biarpun kejadian itu telah dimaklumkan kepada mereka,” katanya.

Malah, katanya, ada pesawah yang berhutang dengan pembeli padi dan akan hadapi masalah jika tanaman tidak menjadi.

Pesawah lain, Yahaya Yusof, 54, berkata sawah seluas hampir 3.6 hektar yang diusahakan bersama ahli keluarga turut tenggelam.

“Hanya itu sumber pendapatan kami dan jika keadaan banjir tidak pulih, mungkin kami sekeluarga terpaksa berputih mata melihat sawah padi yang diusahakan selama ini, musnah.

“Perkara ini telah kami ajukan kepada JPKK, pemimpin kawasan dan pihak berkaitan.

“Diharapkan pihak ini dapat meneliti bentuk bantuan sekiranya sawah padi yang diusahakan, musnah dan tidak dapat diselamatkan,” katanya.

–Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");