Berita Hari Ini

Petronas catat kerugian bersih RM3.4 bilion bagi suku ketiga 2020

Petronas mencatatkan kerugian bersih RM3.4 bilion bagi suku ketiga yang berakhir 30 Sept 2020 berbanding keuntungan bersih RM7.4 bilion bagi suku yang sama tahun lepas berikutan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang rendah.

Kerugian rosot nilai tinggi bagi aset dan perbelanjaan cukai yang tinggi boleh dikaitkan dengan penyahiktirafan aset cukai tertunda terutamanya berikutan unjuran harga minyak dan gas lebih rendah yang turut menjejaskan prestasi kewangannya.

“Kumpulan ini akan mencatatkan keuntungan bersih RM2.6 bilion, tidak termasuk kerugian rosot nilai,” menurut syarikat minyak negara itu dalam kenyataan hari ini.

Kumpulan itu mencatatkan perolehan berjumlah RM41.1 bilion, berkurangan 25 peratus daripada  RM55.1 bilion bagi suku yang sama tahun lepas, terutamanya disebabkan purata harga direalisasi rendah bagi produk-produk utama.

“Setelah bertahan selama sembilan bulan, Petronas mencatatkan sedikit peningkatan pada suku ketiga berbanding suku sebelumnya berikutan kelonggaran sekatan perjalanan keluar masuk secara berkala yang menyebabkan pembukaan semula aktiviti-aktiviti ekonomi secara berperingkat di seluruh dunia,” menurut presiden dan ketua pegawai eksekutifnya Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Beliau berkata Petronas melaksanakan unjuran yang berhati-hati dan menjangka tempoh berbaki bagi 2020 akan mencabar di tengah-tengah persekitaran operasi yang lemah akibat pandemik ini serta turun naik harga minyak yang berlarutan.

“Kami menjangka prestasi kami akan terus dijejaskan oleh turun naik harga minyak disebabkan pandemik COVID-19 yang sedang berlaku,” katanya.

Di sebalik cabaran itu, Tengku Muhammad Taufik berkata Petronas akan terus memberi tumpuan untuk mengekalkan daya tahan portfolio, mempertahankan modal dan perbelanjaan operasi yang berdisiplin serta memelihara mudah tunai untuk memastikan kelestarian perniagaannya.

Dalam tempoh sembilan bulan, Petronas mencatatkan kerugian bersih RM19.9 bilion berbanding keuntungan bersih RM36.4 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas.Pelaburan modal kumpulan itu dalam tempoh berkenaan berjumlah RM22.5 bilion, terutamanya berikutan projek huluan.Ia turut menghasilkan aliran tunai yang positif daripada aktiviti-aktiviti operasi berjumlah RM32.6 bilion, walaupun mencatat keputusan yang lemah dalam tempoh itu, dengan penurunan 50 peratus daripada RM64.6 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");