Perak Hari Ini

PKPB Mukim Parit Buntar: Jumlah Jemaah Dihadkan, Sekolah Agama Ditutup

IPOH – Susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok, semua masjid dan surau di mukim Parit Buntar dihadkan jumlah jemaah solat fardu dan solat Jumaat kepada 13 orang sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata 13 jemaah itu terdiri daripada 10 ahli Jawatankuasa masjid serta imam, siak dan bilal.

Walau bagaimanapun katanya arahan tersebut tidak melibatkan Daerah Bagan Serai.

“Kuliah pengajian di masjid-masjid dan surau turut dihentikan sehingga PKPB berakhir pada 20 November.

“Bagi mereka yang sedang menguruskan proses pernikahan boleh hubungi Pejabat Agama Daerah. Proses pernikahan hanya boleh berlangsung di Pejabat Agama Daerah sahaja,” katanya di sini, hari ini.

Selain itu beliau turut mengumumkan penutupan semua sekolah dan institusi Islam di Parit Buntar dan Bagan Serai.

Katanya penutupan melibatkan Tadika Islam Perak (TIP), Sekolah Rendah Agama Rakyat (KAFA), Maahad Tahfiz, Pondok Pengajian Islam, Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) serta Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI).

“Kita berharap semua pihak pengurusan masjid, surau dan sekolah supaya dapat memantau dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang tetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Tambahnya lagi beliau berharap agar masyarakat setempat dapat memberi kerjasama yang baik dalam usaha membendung penularan COVID-19.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Akmal berkata tempoh kuarantin kendiri di asrama bagi Sekolah Izzuddin Shah telah tamat semalam sementara bagi Sekolah Raja Perempuan Taayah tempoh kuarantin dijadualkan tamat pada 12 November.

Katanya kesemua pelajar, guru dan kakitangan terlibat akan diarahkan pulang ke rumah masing-masing sementara menunggu tarikh pembukaan semula kedua-dua sekolah tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");