Berita Hari Ini

PLUS Sahkan Pesawat Ringan Mendarat Cemas Ekoran Masalah Teknikal

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengesahkan sebuah pesawat ringan melakukan pendaratan cemas di lebuh rayanya berhampiran Sedenak, Kulai semalam ekoran masalah teknikal.

Menurut kenyataan itu, Pusat Kawalan Trafik (TMC) PLUS dimaklumkan mengenai sebuah pesawat yang hilang dari radar Pusat Kawalan Trafik Udara (ATC) Senai pada 10.55 pagi dan meminta PLUS memantau lebuh raya dan menyediakan bantuan jika diperlukan. 

“Pada 10.56 pagi, TMC menerima panggilan daripada pengguna lebuh raya memaklumkan sebuah pesawat ringan dilihat di lebuh raya di Km47.8 (arah selatan) dan mereka segera mengerahkan satu pasukan PLUSRonda untuk membantu. Pada masa sama, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan polis juga dimaklumkan untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu, lapor Bernama

Menurut kenyataan itu, sebaik tiba, PLUSRonda membantu mengawal trafik serta menyediakan zon selamat dan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan pihak polis.  

Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dan pesawat tersebut berjaya dialihkan ke kawasan selamat berhampiran lokasi kejadian dengan kebenaran CAAM dan perjalanan trafik di lebuh raya itu kembali lancar, menurut kenyataan itu lagi.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata sebuah pesawat ringan jenis Beechcraft Bonanza F35 dikendalikan dua juruterbang, mendarat cemas di Km47.8 di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, ketika sedang melakukan penerbangan bagi melengkapkan rekod penerbangan rutin. 

Juruterbang pesawat itu, Dr Yang Kuang Ying, 52, dan pembantu juruterbang Saleehullah Abdul Majid, 41, kedua-duanya rakyat Singapura, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dalam insiden itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");