Perak Hari Ini

PPN Diminta Banci Sawah Rosak Akibat Banjir Untuk Penyaluran Bantuan

BAGAN SERAI – Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak meminta semua Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) supaya membuat bancian mengenai keluasan sawah padi yang rosak akibat banjir kilat susulan hujan lebat sejak minggu lepas di negeri ini.

Pengerusi PPN Perak, Datuk Sham Mat Sahat berkata langkah itu perlu bagi membolehkan pihaknya mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk membantu petani yang terjejas dengan banjir.

Beliau berkata pihak PPN difahamkan satu daripada kompartmen di Semanggol di sini yang terletak dalam daerah Kerian terdapat lebih 1,000 hektar sawah ditenggelami banjir yang boleh mengakibatkan anak padi yang baru ditabur mengalami kerosakan.

“Petani yang sawah mereka rosak ditenggelami air banjir boleh mengemukakan laporan kepada Jabatan Pertanian dan PPK bagi membolehkan bantuan bencana disalurkan kepada mereka.

“Apabila mendapat laporan itu kita juga akan mengemukakan permohonan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bagi membolehkan bantuan benih padi diberikan kepada pesawah yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di pusat penempatan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman di sini hari ini.

Kerian merupakan satu daripada jelapang padi di Perak dan dengan keluasan kawasan sawah adalah 21,108 hektar yang diusahakan 8,237 pesawah.

Dalam perkembangan lain, Sham berkata pihaknya akan berbincang dengan ketua-ketua jabatan di daerah Kerian bagi pembinaan projek saliran untuk mengalirkan air dari Kolam Bukit Merah ke laut sebagai satu daripada usaha mengatasi masalah banjir kilat.

“Projek saliran itu akan mengelak rumah dan sawah ditenggelami air apabila air dari Kolam Bukit Merah dilepaskan setelah mencapai tahap kritikal. Kalau saliran tidak dibina masalah banjir akan berlarutan,” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");