Berita Hari Ini

‘Rentas daerah dengan alasan tak tahu PKPB’

Tidak tahu pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di Kelantan antara alasan digunakan segelintir masyarakat untuk merentas daerah.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat, berkata alasan itu sering digunakan oleh mereka yang membuat perjalanan merentasi daerah apabila melalui sekatan polis di kawasan sempadan daerah.

“Macam-macam alasan diberikan, tidak tahu pelaksanaan PKPB antaranya. Ada yang kata mahu berjalan ke rumah kawan-kawan selain alasan bekerja tetapi gagal mengemukakan surat majikan.

“Kita percaya segala alasan itu hanya direka semata-mata mahu melepasi sekatan polis. Bagi mereka yang benar-benar mengemukakan alasan kukuh, kita membenarkannya.

“Jika tidak, kita akan arahkan mereka berpatah balik,” katanya ketika dihubungi, di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Kelantan dikenakan PKPB sejak semalam selama dua minggu selepas berlaku peningkatan mendadak kes Covid-19.

Sementara itu Shafien berkata, memasuki hari kedua pelaksanaan PKPB di Kelantan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di negeri itu masih memuaskan setakat ini.

“Susah untuk kita katakan tahap sebenar kerana baru memasuki hari kedua. Namun setakat ini boleh dikatakan memuaskan.

“Malah, jumlah kenderaan juga berkurangan kepada 30 hingga 40 peratus setakat ini.

“Kita berharap orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa dan jangan merentas daerah jika tiada keperluan mustahak,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");