Perak Hari Ini

‘Saya Tak Sangka Dia Hilang Terus Dari Pandangan’

IPOH – Datuk kepada Muhammad Deniss Ramadhan Amar Fizry yang dipercayai hanyut selepas terjatuh ke Sungai Chepor pagi tadi seakan-akan tidak percaya akan kejadian yang menimpa cucu kesayangannya itu.

Zulkifli Osman, 64 berkata semalam Deniss Ramadhan sempat tidur bersebelahannya dan kali terakhir melihat cucunya itu pada sebelah pagi sebelum memberitahu ingin keluar bersama empat rakannya.

“Saya tak sangka, dia terus hilang dari pandangan saya,” katanya dengan nada sebak ketika ditemui di kediamannya di Kampung Seri Klebang Tambahan 2 dekat Chemor, di sini, hari ini.

Katanya cucunya itu amat rapatnya selain kerap membantu memicit kakinya dan sering berjenaka bersama-sama.

Zulkifli yang tidak mampu berjalan sejak 10 tahun lalu dan hanya bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak itu berkata Deniss Ramadhan juga merupakan seorang yang rajin.

Malah tambahnya Deniss Ramadhan lebih disenangi dalam kalangan rakan-rakanya atas sikap pemurahnya.

“Kali terakhir saya melihat dia pagi tadi. Sebelum pukul 10 pagi tadi dia berkata ingin keluar kerana ada rakan-rakan sudah menunggu di depan rumah.

“Pada kebiasaannya dia tidak akan keluar ‘tidak tentu arah’. Contohnya jika dia ke kedai untuk membeli coklat dan sebagainya, dia akan terus pulang untuk makan di rumah. Kebiasaannya juga dia akan keluar bersama abangnya. Namun hari ini tidak pula,” ujar Zulkifli.

Terdahulu, isteri Menteri Besar Perak Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi berkunjung dan melawat ahli keluarga Deniss Ramadhan di kediamannya di Kampung Seri Klebang Tambahan 2.

Ketika ditemui Nomee berkata beliau dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menzahirkan rasa sedih terhadap apa yang berlaku kepada Deniss Ramadhan.

Katanya lagi, diharap agar ahli keluarganya dapat terus tabah menghadapi ujian selain berharap agar Deniss Ramadhan dapat ditemui dalam keadaan selamat.

“Saya difahamkan pencarian oleh pihak berkuasa terlibat masih berjalan. Saya berharap agar semua dapat mendoakan agar Deniss Ramadhan dapat ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

Dalam pada itu Nomee berkata Pejabat Parlimen Tambun dan Pejabat Menteri Besar Perak telah menyalurkan sumbangan kepada penduduk setempat susulan kejadian banjir baru-baru ini.

Katanya selain kotak makanan, antara barangan yang turut disumbangkan seperti tilam, bantuan kewangan dan sumbangan peribadi dan sebagainya bagi meringankan beban mereka yang terkesan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");