Berita Hari Ini

Shahidan cadang elaun ahli parlimen dipotong 10 peratus

Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim, mencadangkan supaya elaun anggota Dewan Rakyat dipotong 10 peratus untuk disalurkan kepada tabung Covid-19.

Jelasnya, potongan elaun itu sebagai komitmen dan keikhlasan ahli parlimen membantu rakyat ketika situasi sukar sekarang.

“Pada masa sama saya minta ahli parlimen, demi keikhlasan kita kepada rakyat, marilah kita bersetuju untuk potong elaun kita sebanyak 10 peratus untuk membantu tabung Covid-19.

“Kalau setuju kita potong 10 peratus dan saya sendiri mencadangkan saya dipotong 20 peratus,” katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat, hari ini.

Cadangan Shahidan itu kemudian mendapat sokongan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.

Pada 16 Okt lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengaktifkan semula akaun khas Covid-19, bagi membolehkan orang ramai menyalurkan sumbangan tunai kepada kementerian berkenaan dalam usaha membendung penularan wabak itu.

Ketua Setiausaha KKM Dr Chen Chaw Min berkata susulan pengaktifan semula akaun khas itu, Kementerian Kewangan meluluskan kemudahan potongan cukai bagi sumbangan tunai ke akaun berkenaan, selaras Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Dia menjelaskan KKM tidak melantik sebarang pihak atau ejen bagi melaksanakan kutipan sumbangan tunai bagi kementerian itu.

“Pengaktifan semula akaun khas itu berikutan permintaan pelbagai pihak yang ingin membuat sumbangan tunai kepada kementerian ini susulan peningkatan kes Covid-19 sejak akhir September lepas,” kata Chen.

Sementara itu, Shahidan menyokong penubuhan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dengan peruntukan RM85 juta oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Oleh itu, dia mahukan supaya keutamaan diberikan kepada bekas kakitangan Jasa yang diberhentikan kerja selepas jabatan itu dibubarkan Pakatan Harapan (PH).

“Jasa bukan permainan kata-kata, ia diwujudkan berdasarkan keperluan… mana-mana kerajaan, pemerintah boleh gunakan Jasa untuk menyampaikan berita yang benar,” katanya lagi.

Sebelum mengakhiri perbahasannya, Shahidan menyeru semua ahli Parlimen supaya menyokong Belanjawan 2021.

Sambil menyifatkan mana-mana pihak yang menolak belanjawan kali ini sebagai pengkhianat kerana rakyat dalam keadaan sukar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");