Berita Hari Ini

Sidang Kemuncak Tahunan ASEAN-Australia Bermula Tahun Depan -Muhyiddin

KUALA LUMPUR – ASEAN  gembira menerima cadangan Australia bagi menganjurkan sidang kemuncak tahunan ASEAN-Australia, bermula tahun depan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin ketika menyampaikan Kenyataan Bersama ASEAN pada Sidang Kemuncak Dwitahunan kedua ASEAN-Australia berkata, perkumpulan itu komited untuk bekerjasama dengan Australia bagi memperluas dan mengukuhkan perkongsian strategik dalam semua bidang dan lapangan bagi kepentingan bersama ke arah keamanan, kestabilan serta kemakmuran serantau dan global.

“Seperti yang tergambar menerusi Kenyataan Bersama Pemimpin ASEAN-Australia, kami mengikraf kepentingan hubungan sekian lama terjalin dengan Australia,” katanya pada pada persidangan itu yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-37, lapor Bernama.

Perdana Menteri merupakan penyelaras Sidang Kemuncak Dwitahunan ASEAN-Australia. Negara berkenaan diwakili Perdana Menteri Scott Morrison.

Cadangan Australia untuk mengadakan sidang kemuncak setiap tahun bermula 2021 diumumkan pada Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN+1 bersama dengan Australia September lalu.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, sudah tiba masa bagi ASEAN dan Australia meningkat dan memperhebatkan kerjasama dalam pelbagai bidang seperi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), teknologi digital, fasilitasi perdagangan dan perdagangan elektronik (e-dagang), lebih-lebih lagi ekoran wabak COVID-19.

ASEAN katanya, berharap sokongan lebih meluas daripada Australia terhadap program Kesalinghubungan ASEAN menerusi Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN 2025, termasuk program bandar raya pintar.

Muhyiddin juga berkata, ASEAN juga mahu meningkatkan kolaborasi dalam bidang COVID-19 dengan pegawai dan pakar kesihatan Australia termasuk kerjasama penyelidikan dan pembangunan, berkongsi pengetahuan saintifik serta teknologi inovatif.

Katanya, peranan Australia dalam kerjasama kesihatan semakin menyerlah menerusi penyertaan dalam Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN-Australia mengenai COVID-19 (SAAFMM) pada Jun 2020 dan Mesyuarat Pakar Kesihatan ASEAN-Australia mengenai COVID-19 pada Julai lalu.

Katanya ASEAN turut menghargai pengumuman pakej berjumlah AU$23 juta Australia pada SAAFFM dan AU$60 juta lagi pada mesyuarat peringkat menteri ASEAN-Australia pada September lalu.

ASEAN juga mengalu-alukan sumbangan Australia sebanyak AU$1 juta kepada Tabung Bantuan COVID-19 ASEAN serta sokongan negara berkenaan terhadap pelbagai inisiatif kesihatan ASEAN lain, katanya.

Muhyiddin berkata, ASEAN turut mengucapkan terima kasih terhadap komitmen dan peranan konstruktif Australia dalam memupuk dan mengekalkan keamanan, keselamatan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini.

Katanya, ASEAN turut menghargai pembabitan aktif Ausralia dan kerjasama negara itu dalam isu tradisi dan aspek keselamatan bukan tradisi selain merakamkan penghargaan negara itu terhadap sokongan kepada agenda wanita, keamanan dan keselamatan ASEAN.

“ASEAN menggalakkan rundingan lanjut mengenai agenda itu termasuk penganjuran Dialog Wanita, Keamanan dan Keselamatan ASEAN yang bakal berlangsung,” katanya.

Australia menjadi negara pertama dipilih menjadi Rakan Dialog ASEAN pada 1974. Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia pertama pula diadakan di Hanoi pada Oktober 2010. 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");