Berita Hari Ini

SOP rentas negeri, daerah akan diperketatkan

Majlis Keselamatan Negara (MKN) diminta menilai semula keperluan untuk memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) pergerakan rentas daerah dan negeri.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia susulan penularan COVID-19 yang masih membimbangkan dan tidak boleh dibiarkan terus berlarutan.

“Sidang MKN diberikan penerangan berkenaan situasi semasa jangkitan COVID-19 dalam negara dan ia membimbangkan dan tidak boleh dibiarkan berlarutan begini.

“Sehubungan itu, saya mengarahkan supaya MKN segera menilai semula sama ada aktiviti sosial masih boleh dibenarkan atau tidak dan menilai semula keperluan untuk memperketatkan lagi SOP pergerakan rentas daerah dan negeri,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini.

Katanya, MKN akan membentangkan dapatan hasil perbincangan daripada Jawatankuasa Teknikal COVID-19 berhubung penilaian semula SOP pada sidang MKN esok.

Selain itu, Muhyiddin berkata, kerajaan Sarawak juga ada memberikan cadangan supaya kerajaan menaiktaraf fasiliti yang menjalankan ujian saringan pengesanan COVID-19 di seluruh negeri itu.

“Saya setuju dengan saranan ini kerana fasiliti sedia ada dijangka tidak mampu menampung sampel yang banyak dan kita mesti bersiap sedia dari segi tenaga kerja dan fasiliti untuk menghadapi kemungkinan peningkatan mendadak kes positif COVID-19.

“Alhamdulillah, kerajaan Sarawak sudah pun mengadakan perbincangan lebih awal di pihak mereka dan akan membentangkan Pelan Persiapan COVID-19 bagi Sarawak pada Sidang Khas MKN esok,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau akan memastikan semua cadangan bagi menambah baik gerak kerja dan persiapan untuk mengurus serta mengawal jangkitan COVID-19 di dalam negara akan diberikan pertimbangan sewajarnya.

“Semua ini, pada akhirnya adalah untuk melindungi rakyat Malaysia daripada jangkitan COVID-19 dan memastikan keupayaan mereka meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");