Berita Hari Ini

Sungai Tapah Paling Bersih Dalam Negara

KUALA LUMPUR: Sungai Tapah yang mengalir ke lembangan Sungai Perak dalam daerah Kinta, Perak dikenal pasti sebagai sungai paling bersih di negara ini.

Manakala, Sungai Rambai di Jenjarom yang mengalir ke lembangan Sungai Sepang di Selangor adalah sungai paling tercemar.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (Jas) Norlin Jaafar berkata, dapatan itu adalah hasil sejumlah 672 sungai yang diawasi agensi kerajaan berkenaan pada tahun lalu.

“Daripada sejumlah 672 sungai yang diawasi, sebanyak 408 sungai berstatus bersih manakala 205 sungai dikategorikan dalam status sungai sederhana tercemar dan 59 lagi berstatus sungai tercemar.

“Indeks Kualiti Air (IKA) bagi Sungai Tapah adalah 95 iaitu sungai yang paling bersih manakala IKA bagi sungai paling tercemar iaitu Sungai Rambai adalah 21,” katanya sebagaimana dilaporkan.

Beliau berkata, IKA mengambil kira parameter Oksigen Terlarut (DO), Keperluan Oksigen Biokimia (BOD), Keperluan Oksigen Kimia (COD), Ammoniakal Nitrogen (NH3-N), Pepejal Terampai (SS) dan pH.

Menurutnya, kualiti air sungai yang sudah dinilai berdasarkan sejumlah 8,118 sampel air sungai diambil daripada 1,353 stesen pengawasan manual merangkumi 672 sungai.

“Program pengawasan kualiti air sungai ini bagi menentukan kualiti air sungai dan mengesan perubahan ke atas kualiti air sungai.

“Sampel air sungai diambil daripada stesen ditetapkan dan diukur kualiti secara in-situ serta dihantar ke makmal untuk dianalisis bertujuan menentukan kriteria dari segi fizik-kimia dan biologi.

“IKA digunakan untuk mengukur tahap pencemaran dan kesesuaian jenis guna air seperti yang digariskan oleh Standard Kualiti Air Negara,” katanya.

Ujarnya lagi, berdasarkan analisis mendapati BOD, (NH3-N) dan SS masih menjadi punca kepada pencemaran sungai.

Katanya, BOD yang tinggi kerap kali dikaitkan dengan pengolahan sisa kumbahan yang tidak berkesan, atau akibat pelepasan efluen daripada industri-industri pengilangan dan berasaskan pertanian.

“Punca utama NH3-N pula boleh dikaitkan dengan aktiviti penternakan dan kumbahan domestik manakala punca utama SS adalah kerja-kerja tanah dan aktiviti pembukaan tanah yang tidak teratur,” katanya.

Pada 2018 dan tahun lalu, Sungai Rambai di Jenjarom, Kuala Langat pernah mendapat liputan media tempatan dan antarabangsa apabila dikatakan menjadi ‘tong sampah dunia’ akibat sisa dihantar beberapa negara dilonggokkan di daerah itu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");