Sukan Hari Ini

Tangguh SUKMA 2020: Skuad bola sepak Perak harap usia pemain dikaji

IPOH – Skuad bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) Perak yang akur dengan keputusan penangguhan SUKMA Johor 2020 ke tahun 2022 berharap supaya syarat had umur 21 tahun pemain bagi pertandingan sukan itu dikaji dan diberikan kelonggaran.

Jurulatihnya K. Nathakumar berkata jika penangguhan tersebut kekal, berkemungkinan beliau terpaksa mencari pemain baharu kerana sebahagian besar anggota skuad itu akan melebihi umur 21 tahun dan persiapan pasukan telah dilakukan sejak, awal Julai lepas.

“Masalah ini (pemain melebihi had umur), rasa saya bukan hanya berlaku pada Perak tetapi pasukan lain juga. Perkara ini, agak merunsingkan, sebab kalau kena buat pemilihan semula, ia akan ambil masa yang agak lama untuk lihat keserasian pemain dan kesesuaian taktikal kita,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. 

 “Saya harap, kalau boleh syarat had umur ini dilihat semula atau diberi kelonggaran,” tambahnya.

Semalam (9 Nov), Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan Sukma Johor 2020 yang dijadual berlangsung pada 6 hingga 14 Mac tahun depan sekali lagi terpaksa ditangguhkan ke tahun 2022 susulan peningkatan kes COVID-19. 

Di sebalik pengumuman terbaharu itu, beliau berkata para pemain masih menjalani latihan seperti biasa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di Perak. 

“Latihan seperti biasa, dalam seminggu kita buat lima hari di sebelah petang kecuali Sabtu dan Ahad. Cuma, latihan kali ini kita pecahkan kepada dua kumpulan untuk pastikan ada penjarakan sosial antara pemain,” katanya. 

Sementara itu, pengurus skuad sepak takraw Sukma Perak, Mohd Jaffrey Mohd Zainol berkata penangguhan Sukma memberi peluang kepada semua pemain untuk memantapkan lagi mutu persembahan dalam memastikan mereka terpilih untuk mewakili negeri ke temasya berkenaan. 

“Setakat ini, kita ada 30 pemain (19 lelaki dan 11 wanita) dan dengan penangguhan ini kita mahu lihat prestasi mereka sebab senarai akhir yang kita perlu bawa ke Johor nanti hanya 23 pemain (15 lelaki dan 8 wanita),” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");