Berita Hari Ini
Like

Tempat kerja sumbang kes tertinggi di Lembah Klang

November 18, 2020
9 Views
0 Comments
1 minute read
Tempat kerja sumbang kes tertinggi di Lembah Klang

Peningkatan kes mendadak di negeri di Lembah Klang akhir-akhir ini adalah disebabkan oleh peningkatan kes berkaitan dengan tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada 162 kluster aktif COVID-19 yang dilaporkan, sebanyak 72 kluster adalah berkaitan tempat kerja termasuk empat kluster baharu yang diumumkan hari ini.

“Ini berikutan ketiga-tiga negeri ini adalah pusat tumpuan warga pekerja. Kepadatan penduduk di negeri-negeri ini juga menjadi satu daripada faktor risiko meningkatnya kadar kebolehjangkitan atau penularan penyakit COVID-19.

“Tenaga kerja adalah adalah aset berharga bagi sesebuah syarikat mahupun organisasi. Ini termasuk pekerja warga tempatan dan warga asing,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

“Seperti sering Kementerian Kesihatan (KKM) tekankan, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit di kalangan pekerja misalnya isu tempat penginapan, kebersihan sendiri dan juga persekitaran di tempat tinggal serta tempat kerja.

”Memandangkan isu penularan COVID-19 di kalangan pekerja warga asing adalah isu penting yang perlu ditangani, KKM meminta pihak majikan untuk memainkan peranan lebih besar dalam sama-sama menanganinya,” katanya.

Antara tindakan boleh diambil kata beliau, memberi pendidikan kepada para pekerja tentang amalan kebersihan kendiri, persekitaran di tempat kerja dan tempat tinggal, serta langkah pencegahan.

“Menyediakan penginapan yang kondusif untuk memastikan penjarakan fizikal yang selamat dapat diamalkan serta memantau dan memastikan amalan pencegahan jangkitan dipraktikkan oleh pekerja di tempat kerja dan tempat penginapan mereka,” katanya.-BH

Comments are closed.