Perak Hari Ini

Tiada Solat Jumaat di zon merah di Perak

IPOH – Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPK) menangguhkan solat Jumaat, solat lima waktu berjemaah dan lain-lain aktiviti pengimarahan di seluruh masjid serta surau di Perak dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Perak mengikut ketegori zon yang telah dikeluarkan, mulai kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif, Shahrul Azam Shaari berkata, keputusan itu dibuat melalui titah perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selepas mempertimbang sembah nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

“Solat berjemaah pada setiap solat fardu dan solat Jumaat di zon merah boleh dilaksanakan di masjid serta surau dengan had ditetapkan kepada enam jemaah terdiri daripada pegawai masjid serta ahli jawatankuasa kariah (JK).

“Bagi solat Jumaat serta solat fardu di kawasan zon kuning, bilangan jemaah dihadkan kepada 23 orang Ahli Jumaat yang terdiri daripada pegawai masjid dan ahli JK,” katanya dalam satu kenyataan.

Shahrul Azam berkata, bagi kawasan zon hijau pula, had ditetapkan kepada 40 jemaah bagi kedua-dua solat, dan kelonggaran turut diberikan kepada ahli kariah. Jemaah lain hendaklah menggantikan solat Jumaat dengan solat Zohor di rumah masing-masing.

“Laungan azan pada setiap kali solat hendaklah diteruskan seperti biasa tanpa sebarang pindaan kalimah, namun hendaklah disusuli dengan pengumuman selepas azan bagi menyarankan ahli kariah mendirikan solat berjemaah bersama keluarga di rumah masing-masing.

“Bagaimanapun, kehadiran menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau hanya dibenarkan kepada warganegara sahaja dan identiti para jemaah yang datang untuk bersolat hendaklah disemak dan direkodkan sebelum dibenarkan masuk,” katanya.

Katanya lagi, kesemua aktiviti keagamaan selain solat di masjid serta surau dalam kawasan zon merah ditangguhkan, manakala penganjuran kuliah pengajian antara solat Maghrib dan Isyak, serta selepas solat Subuh dibenarkan pada skala kecil bagi zon kuning serta zon hijau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");