Panasnya Hari Ini

Top Glove Kluster Covid-19

1. Semalam dilaporkan yang kebanyakan kes baru Covid-19 di Selangor sebanyak 250 adalah berpunca daripada kilang sarung tangan getah Top Glove Corporation Berhad di sekitar Klang.

2. Sehingga semalam, daripada 5,794 pekerjanya yang disaring, seramai 1,889 didapati positif. Justeru itu, langkah Majlis Keselamatan Negara memeritahkan penutupan berperingkat beberapa buah kilang milik syarikat tersebut adalah wajar.

3. Justeru itu, faktor kluster kilang Top Glove ini wajib diambilkira dalam apa juga keputusan mengenai penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor selepas ini. Adalah tidak adil menghukum penduduk Selangor apatah lagi seluruh negara kerana kegagalan sistemik di kilang-kilang Top Glove.

4. Yang patut dikenakan tindakan punitif adalah Top Glove dan mana-mana juga majikan yang gagal dalam menguatkuasaan SOP sehingga menyebabkan jangkitan yang begitu besar.

5. Top Glove ini bukan syarikat tepi jalan. Ia adalah pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia dengan 47 buah kilang – 41 daripadanya di Malaysia – dan 21,000 orang pekerja yang kebanyakannya buruh import. Ia adalah “darling” (kekasih) penggiat pasaran saham dan tauke nombor satunya, Dr Lim Wee Chai (Tan Sri), buat masa ini adalah dewa sakti sektor korporat Malaysia.

6. Top Glove adalah antara syarikat yang menikmati durian runtuh akibat Covid-19 kerana permintaan global yang melambung bagi sarung tangan getah. Jadi adalah ironik dan tidak patut jika kilang-kilangnya menjadi tempat penularan pandemik itu.

7. Lagipun Top Glove ini ada rekod “dihukum” kerana didakwa memberi layanan tidak baik kepada pekerja importnya. Pada 6 Oktober lepas, portal berita ekonomi Theedgemarkets melaporkan yang Top Glove bersetuju membayar pampasan AS$40 juta (kira-kira RM166 juta) kepada pekerja dari Nepal dan Bangladesh bagi menampung kos yang dikenakan oleh agensi pekerja asing. Ironinya, penalti ini adalah syarat bagi mengelak daripada sekatan import oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.

8. Dalam hal berkaitan, pengimportan dan kemasukan pekerja asing telah dikenalpasti dan disahkan sebagai punca utama rasuah dan penyelewengan di kalangan sesetengah kakitangan awam di negara kita.

9. Kisah bagaimana pegawai-pegawai rendah dan menengah Jabatan Imigresen boleh hidup mewah sehingga memiliki kereta “diraja” Rolls Royce dan “muscle car” Ford Mustang bukan cerita khayalan lagi.

10. Ia sudah menjadi realiti dan memberi erti kepada perpatah bapa borek anak rintik. Atau dalam konteks hari ini, bapak-bapak politik kencing berdiri, anak-anak buah kencing berlari.

11. Terima kasih dan syabas kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana komited kepada misi membersihkan Malaysia daripada pandemik rasuah ini. Tangkap bilis di tepian pantai dan tangkap juga jerung yang makan bangkai.

Wallahuaklam. Terima kasih.

Sumber: MalaysiaDateline

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");