Perak Hari Ini

UMNO Perak Bersedia Sekiranya Diumumkan PRK Gerik

GERIK – UMNO Perak bersedia sekiranya diadakan Pilihanraya Kecil (PRK) di Parlimen Gerik susulan kematian penyandangnya Datuk Hasbullah Osman akibat serangan jantung semalam. 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Saarani Mohamad, berkata malah parti itu sentiasa bersedia menghadapi sebarang pilihanraya sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan yang menetapkan pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas wujud kekosongan sesuatu Parlimen.

“Saya tiada pilihan malah saya sudah memanggil Setiausaha Bahagian Gerik, Ahmad Shukri Ismail dan saya dilaporkan kita memang bersiap sedia dari dahulu. 

“Dimaklumkan kepada saya pada mesyuarat di bahagian pada perjumpaan terakhir baru-baru ini semua sudah bersiap-sedia menghadapi pilihanraya. 

“Malah sekiranya Allahyarham masih ada, kita sudah merancang untuk mengadakan Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan kepada Ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi. 

“Sampai ke tahap itu UMNO Gerik bersiap-siaga dalam menghadapai Pilihanraya Umum (PRU). Jadi saya raya tiada masalah sekiranya diumumkan PRK,” katanya ketika ditemui pada pengkebumian Allahyarham di sini, hari ini. 

Untuk rekod, Pada PRU-14 lalu, Allahyarham memperoleh 13,243 undi menewaskan pencabarnya, Mohd Dahalan Ismail dari PAS dan Ibrahim Mohd Hanafiah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Dalam pada itu Saarani berkata beliau reda dengan pemergian dua pemimpin yang juga wakil rakyat UMNO pada tahun ini, selepas kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada Julai lalu. 

Katanya ia adalah ketentuan Allah SWT yang harus diredai selain menyifatkannya sebagai satu cabaran yang mempunyai hikmah disebaliknya. 

Pada masa sama, beliau berkata pemergian Hasbullah pasti dirinduinya kerana mengenali Allahyarham sejak muda dan aktif bersama-sama dalam Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sekitar tahun 1980’an. 

Ujarnya lagi hubungan beliau bersama arwah dalam politik turut akrab sehingga Hasbullah dilantik timbalannya dalam Badan Perhubungan UMNO Perak. 

Sementara itu, bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Mohamad Tajol Rosli Ghazali yang ditemui turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang rajin bekerja dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat. 

“Arwah seorang yang kuat bekerja. Cuma beliau terlampau menjaga orang, sehingga kurang menjaga kesihatan diri sendiri,” katanya. 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");