Perak Hari Ini

Usul Undi Percaya Terhadap MB Bukan Perkara Janggal – Speaker DUN Perak

IPOH – Usul undi percaya terhadap Menteri Besar bukanlah suatu perkara yang baharu ataupun janggal bagi negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi termasuk di Malaysia.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata malah di peringkat negeri mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) boleh membawa usul sedemikian selagi ia mematuhi Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.

“Usul undi percaya jika dilihat di Dewan Rakyat, ada Ahli Parlimen yang baru-baru ini dilaporkan mahu membawa usul tersebut.

“Jika dirujuk pada konvensyen, kita boleh merujuk Peraturan-peraturan Tetap Amalan-amalan Negara Komanwel. Di West Minister ia pernah berlaku usul sama terhadap Perdana Menteri United Kingdom pada tahun 1977 iaitu James Callaghan.

“Justeru usul undi percaya ini bukan perkara baharu mahupun kejanggalan atau di luar ‘tabii’. Ianya memang ada dalam amalan dewan,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung usul undi percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dibawa oleh ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Abd Manaf Hashim pada persidangan DUN nanti.

Media sebelum ini melaporkan menerusi surat bertarikh 18 November, ADUN dari Barisan Nasional (BN) itu menyatakan bahawa Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu mempunyai keyakinan majoriti ahli-ahli Yang Berhormat DUN.

Justeru, beliau memohon membawa satu usul dan mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan di bawah Perintah-Perintah Tetap 26(1) dibaca bersama Perintah Tetap 27(3) Dalam Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Mengulas lanjut, Mohammad Zahir berkata usul persendirian itu telah dimasukan dalam aturan mesyuarat dewan selain daripada Rang Undang-undang Perbekalan 2021 dan Usul Wang Pembangunan 2021 yang akan dibentangkan Menteri Besar pada Jumaat.

“Jika mengikut aturan, usul undi percaya itu dijadual turut akan dibahaskan kecuali berlaku sebarang perubahan pada persidangan nanti.

“Namun sekiranya ADUN yang membawa usul itu mahu menarik balik usul tersebut, beliau boleh berbuat demikian berdasarkan peraturan perjalanan dewan,” katanya.

Untuk rekod, Kerajaan Perak yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada 25 ADUN BN yang kesemuanya UMNO, Bersatu (lima), PAS (tiga) sementara baki kerusi DUN diduduki DAP (16), AMANAH (lima), PKR (tiga) serta satu masing-masing GERAKAN dan Bebas.

Dalam pada itu Mohammad Zahir berkata persidangan Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga, DUN Ke-14 Perak akan berlangsung selama lima hari bermula 4 Disember depan.

Katanya perjalanan persidangan tersebut akan berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) termasuk dengan menghadkan jumlah petugas, pegawai dan wakil media.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");