Berita Hari Ini
Like

Vaksin: Perjanjian Malaysia-China Pemangkin Perluasan Kerjasama Dua Negara – Al-Sultan Abdullah

November 26, 2020
129 Views
0 Comments
2 minutes read
Vaksin: Perjanjian Malaysia-China Pemangkin Perluasan Kerjasama Dua Negara – Al-Sultan Abdullah

KUALA LUMPUR – Perjanjian Malaysia-China dalam pembekalan vaksin COVID-19 akan menjadi pemangkin kepada perluasan kerjasama dan kolaborasi saintifik antara kedua-dua negara, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka Baginda mengalu-alukan komitmen yang telah diberikan Kerajaan China kepada Malaysia, untuk disenaraikan sebagai negara penerima utama vaksin COVID-19 yang sedang dibangunkan oleh negara itu.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar keakraban, kerjasama dua hala di pelbagai sektor dan hubungan diplomatik di antara Malaysia dan China yang terjalin sejak 1974 ini dapat diperkukuh dan dipertingkat lagi demi kepentingan dan kesejahteraan ekonomi bersama,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Seri Paduka berkenan menerima menghadap Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian di Istana Negara bagi majlis perpisahan duta tersebut.

Komitmen China kepada Malaysia untuk disenaraikan sebagai penerima utama vaksin itu hasil persetujuan dicapai Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan rakan sejawatnya Wang Yi dalam perjumpaan yang telah diadakan pada 13 Okt lepas. Pemeteraian perjanjian secara maya membabitkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan rakan sejawatnya Wang Zhigang berlangsung pada 18 Nov.

Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa sukacita kerana kedua-dua negara masih mencatatkan pertumbuhan positif dari aspek jumlah perdagangan walaupun perdagangan di peringkat global terkesan akibat ancaman wabak COVID19.

“Ini menggambarkan kemampanan dan daya tahan ekonomi Malaysia dan China yang boleh menjadi pelengkap kepada kedua-dua negara,” titah Seri Paduka.  

Sementara itu, Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada Bai Tian sepanjang perkhidmatan selama tiga tahun di Malaysia, khususnya dalam memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala di antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih komprehensif. 

“Seri Paduka Baginda turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bai Tian atas usaha beliau dan khususnya kepada Presiden China Xi Jinping di atas bantuan dan sumbangan berterusan yang telah dihulurkan kepada Malaysia sejak mula menghadapi penularan COVID-19 awal tahun ini,” katanya. 

Bai Tian secara rasmi mula berkhidmat sebagai Duta Besar China ke Malaysia pada 28 Nov 2017 dan bakal menamatkan penempatannya di negara ini pada 27 Nov 2020. 

Comments are closed.