Berita Hari Ini

Video Dimuat Naik Lokman Adam Mempunyai Unsur Ugutan

KUALA LUMPUR – Kandungan video yang dimuat naik Datuk Lokman Noor Adam di media sosial disyaki mempunyai unsur ugutan jenayah dan menggunakan perkataan jelik terhadap kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata perbuatan berkenaan dibuat ketika Lokman sedang bersiaran secara langsung di laman Facebooknya.

“Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) JSJ telah memulakan siasatan terhadap satu laporan polis yang diterima.

“Selain itu, gajet dipercayai digunakan untuk memuat naik video yang tular itu turut dirampas dan suspek direman sehari untuk siasatan lanjut,” katanya sebagaimana dilaporkan Bernama.

Huzir berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menakutkan secara jenayah, Seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, kerana menggunakan perkataan-perkataan yang kurang sopan.

Beliau menegaskan siasatan yang dijalankan adalah secara profesional dan adil tanpa menerima tekanan atau arahan daripada mana-mana pihak.

Huzir turut menggesa semua pihak memberi ruang untuk melengkapkan siasatan secara telus dan adil, serta tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.

Hari ini, Bernama melaporkan polis mengesahkan penahanan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkenaan semalam, disyaki mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan ketika bersiaran langsung di laman Facebooknya.

Semalam, Lokman menerusi laman Facebooknya memaklumkan ditahan polis ketika siaran langsung bertajuk ‘Setiap MP bakal disogok RM3 juta peruntukan jika Bajet 2021 diluluskan? Biar Betul?’ di sebuah restoran di ibu negara.

Lokman turut berkongsi yang beliau ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");