Perak Hari Ini

Wan Arif Mahu Panjat Gunung

BATU GAJAH – Walaupun memakai kaki kiri palsu, Wan Arif Ferdaus Wan Ahmad Affendy, 16, tidak merasakan ia sebagai satu halangan untuk meneruskan rutin hariannya seperti remaja yang lain.

Malah menurut anak sulung daripada tiga adik beradik itu dia tetap aktif dan mampu untuk bermain bola sepak, futsal serta badminton bersama rakan-rakan.

“Impian saya sekiranya dapat kaki palsu yang baharu, saya mahu membuat lebih banyak aktiviti lasak seperti memanjat gunung, merentas hutan dan berbasikal,” katanya, di sini hari ini.

Sebelum ini kisah Wan Arif yang membantu menyediakan roti puri di kedai ibunya, Zetty Ferdaus Ramli, 37, bagi meringankan beban keluarganya dan menampung kos mendapatkan kaki palsu baharu mendapat perhatian warga net.

Dilaporkan kaki kiri pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Toh Indera Wangsa Ahmad itu terpaksa dipotong pada 2016 disebabkan penyakit kanser tulang yang dihadapinya.

Ekoran perubahan tumbesaran tulang, kaki palsu yang dipakainya kini berharga RM6,500 perlu ditukar kepada kaki palsu baharu yang dianggarkan sebanyak RM12,250.

Wan Arif berkata kaki palsu baharu itu adalah lebih tahan selain sesuai untuk digunakan bagi aktiviti sukan lasak.

“Saya membantu ibu saya menggelek puri di kedai. Saya membantu ibu berniaga bagi menampung keperluan harian keluarga supaya  kami tidak perlu meminjam duit kepada orang lain.

“Selain itu hasil perniagaan itu juga bagi membantu saya  mendapatkan keperluan sukan renang dan menampung kos perjalanan rawatan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya lagi.

Tambahnya dia juga turut mewujudkan akaun YouTube bernama ‘Wan Arif Channel’ yang merakam rutin sehari-hariannya sebagai motivasi dan berkosngi kepada masyarakat di luar.

Sementara itu Zety berkata sebelum mendapat kaki palsu pertama pada 2016, anaknya itu menjalani kehidupan harian dengan menggunakan tongkat.

Katanya dia mengambil keputusan untuk berniaga bagi membantu meringankan beban suami yang bekerja di sebuah kedai dobi di sini.

“Rawatan darah di PPUM untuk Wan Arif sekali setahun. Bagi rawatan tulang, rehab dan kaki palsu dalam dua bulan sekali. Kos perjalanan dan semuanya bernilai sekitar RM600 ke RM700,” jelasnya.

Terdahulu, Wan Arif menerima kunjungan daripada Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh di rumahnya di Kampung Sentang, dekat sini.

Selain bertanyakan khabar , Mohd Hafez turut menyampaikan sumbangan peribadi daripada Pejabat Menteri Besar Perak kepada keluarga Wan Arif.

“Kita akan menghubungi PPUM untuk menyegerakan urusan mendapatkan kaki bahari untuk Wan Ariff ini. Menteri Besar menyampaikan salam kepada keluarga Wan Arif dan mendoakan agar Wan Arif dapat mencapai cita-citanya dalam bidang sukan.

“Selain itu Pejabat Menteri Besar Perak juga akan melihat keperluan bagi menyalurkan bantuan susulan kepada Wan Arif,” katanya ketika ditemui pemberita.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");