Perak Hari Ini

Ahmad Faizal Gagal Undi Percaya MB Perak

IPOH – Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak dapat mempertahankan kedudukannya sebagai Menteri Besar Perak selepas 48 daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak menyokong usul undi percaya terhadapnya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tadi.

Speaker DUN, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid membuat keputusan itu selepas proses pengundian belah bahagi dilakukan secara sulit terhadap usul yang dibawa ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Abdul Manaf Hashim hanya mendapat sokongan 10 undi dan satu berkecuali.

Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang berkata beliau menerima keputusan tersebut dengan redha selain berjanji akan melakukan transisi pentadbiran kerajaan negeri dengan keadaan berhemah.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat dan kesemua Ahli Dewan Negeri. Terima kasih juga kepada rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) dan juga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri atas kerjasama yang diberikan selama ini.

“Saya berharap kerajaan baru yang bakal dibentuk akan memastikan segala apa yang dilakukan nanti bukan untuk kepentingan untuk membawa legasi sendiri,” katanya di sini, hari ini.

Selain itu, Menteri Besar Perak dua penggal sejak 2018 itu berkata berharap segala inisiatif kerajaan yang baik untuk rakyat dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Adalah satu kebanggaan buat saya untuk berkhidmat pada negeri ini dan patik menjunjung kasih Sultan Perak atas kesempatan menabur bakti pada Baginda Sultan” katanya lagi.

Terdahulu pembentangan Belanjawan Perak 2021 ditangguhkan sementara selepas dua usul tergempar bagi menyegerakan aturan usul undi percaya terhadap Menteri yang dibawa Salbiah Mohamed (BN-Temenggor) dan Howard Lee (PH-Pasir Pinji) sekitar jam 8 pagi tadi diterima speaker.

Sementara itu, Abdul Manaf ketika membahaskan usul berkenaan berkata, tujuan usul undi percaya itu adalah bagi menentukan keabsahan atau kewibawaan kepimpinan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar.

Katanya, ia sekali gus menolak dakwaan kononnya kerajaan negeri yang ada sekarang menggunakan pendekatan pintu belakang.

“Kita lihat ini (Sidang DUN) menjadi medan terbaik untuk selesaikan masalah ini kerana dalam situasi pandemik Covid-19 tidak sesuai diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan sebagainya.

“Ada juga dakwaan yang mengatakan UMNO bersekongkol dengan DAP untuk jatuhkan kerajaan. Maka cara ini (melalui undi percaya) tentukan samada ADUN Chenderiang ada majoriti atau tidak dalam dewan ini,” katanya.

Speaker DUN kemudiannya membuka sesi untuk perbahasan oleh wakil kerajaan dan pembangkang dengan Razman Zakaria (PAS-Gunung Semanggol) menjadi wakil kerajaan tunggal berbahas menyokong usul tersebut.

Selepas tamat perbahasan, Mohammad Zahir mengumumkan proses pengundian belah bahagi dibuat selepas dicadangkan oleh Dr Abdul Aziz Bari (DAP-Tebing Tinggi) dengan sokongan Maslin Sham Razman (BN-Bukit Chandan).

Semua ADUN diberikan kertas undi khas untuk ditandakan sama ada menyokong, tidak menyokong atau berkecuali berserta tanda tangan.

Selepas undian dibuat, proses kiraan undi turut disaksikan wakil kerajaan, Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Bersatu-Sungai Manik) dan wakil pembangkang, Tan Kar Hing (PKR-Simpang Pulai).

Speaker DUN kemudiannya menangguhkan persidangan DUN Perak pada hari Rabu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");