Panasnya Hari Ini

Artikel Memfitnah: Mat Sabu Saman Harakah

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu memfailkan saman terhadap seorang kolumnis dan ketua pengarang Harakah serta satu pihak lagi berhubung dakwaan menerbitkan artikel berunsur fitnah di laman sesawang Harakahdaily, September lepas.

Bernama melaporkan Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Amin Amirul & Partners pada 28 Okt lepas di Mahkamah Tinggi di sini, dengan menamakan kolumnis Roslan Shahir Mohd Shahir, Ketua Pengarang Wan Nordin Wan Yaacob dan penerbit laman sesawang itu yang juga akhbar cetak Harakah, Galeri Media Serbanika Sdn Bhd sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Idamasliza Maarof pada 7 Jan depan. 

Dalam penyataan tuntutannya, Mohamad, yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa pada 14 Sept lepas, kesemua defendan telah bersama dan berasingan menjatuhkan maruah, mengaibkan atau memfitnahnya dengan menulis serta menerbitkan kata-kata fitnah terhadapnya di laman sesawang Harakahdaily menerusi artikel bertajuk “Husam: PAN Parti Diktator”.

Ahli Parlimen Kota Raja itu mendakwa kata-kata fitnah tersebut antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang diktator, menyalahgunakan jawatan dan kedudukannya sebagai seorang presiden parti selain mendakwa plaintif seorang presiden yang hanya mengikut arahan dan telunjuk parti DAP.

Plaintif mendakwa kata-kata fitnah yang ditulis oleh defendan pertama (Roslan Shahir) menjadi sumber kepada defendan kedua (Wan Nordin) untuk melaporkan dan membenarkan artikel berkenaan diterbitkan di laman sesawang Harakahdaily.

Mohamad mendakwa kata-kata fitnah itu hanya tuduhan melulu yang berniat jahat (eng: mala fide) terhadapnya bertujuan untuk menjatuhkan dan merendahkan maruah serta kredibiliti plaintif yang mempunyai imej, reputasi dan integriti yang baik.

“Laman sesawang Harakahdaily adalah laman potral media yang cenderung kepada parti PAS iaitu parti yang menjadi salah satu tunjang utama kepada pemerintahan di negara ini. Oleh itu, defendan-defendan mempunyai potensi untuk mendatangkan keuntungan politik kepada PAS sekaligus membawa orang ramai membenci plaintif sebagai seorang pemimpin parti Amanah,” katanya di dalam penyataan tuntutan.

Plaintif berkata pada 24 Sept lepas, satu notis telah dihantar kepada kesemua defendan supaya menarik balik tuduhan fitnah dan seterusnya meminta maaf kepadanya, namun kesemua defendan gagal berbuat demikian.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, faedah, satu perintah mengarahkan defendan-defendan memohon maaf dan menarik balik tuduhan fitnah berkenaan serta satu injunksi untuk menahan kesemua defendan atau ejen-ejennya daripada menerbitkan semula kata-kata fitnah serupa atau seakan sama terhadap plaintif secara lisan atau di media cetak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");