Berita Hari Ini

Banjir: Mangsa Di Terengganu Terus Meningkat, Perak Dan Kelantan Hampir Pulih

KUALA LUMPUR, 3 Dis  — Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 781 orang daripada 218 keluarga setakat 4 petang tadi berbanding 439 orang daripada 124 keluarga pada 8 pagi.

Sebanyak lapan lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menampung peningkatan mangsa banjir itu, menjadikan keseluruhan 17  PPS  beroperasi di negeri itu setakat ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu Lt. Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata dua lagi daerah dilanda banjir petang ini, iaitu Setiu dan Dungun berbanding hanya empat daerah pagi tadi iaitu Marang, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Kemaman.

“Mangsa paling ramai ketika ini ialah di Marang iaitu 298 orang daripada 81 keluarga berbanding 156 mangsa daripada 42 keluarga pagi tadi. Kesemua mereka berada di tiga PPS di daerah itu.

“Di Kuala Nerus pula terdapat tiga PPS beroperasi ketika ini, menempatkan 155 mangsa daripada 38 keluarga berbanding 96 mangsa daripada 22 keluarga sebelum ini,” katanya kepada pemberita.

Kuala Terengganu juga merekodkan peningkatan mangsa banjir kepada 159 mangsa daripada 46 keluarga berbanding 114 mangsa melibatkan 36 keluarga pagi tadi, sementara di Kemaman bertambah kepada 94 mangsa daripada 30 keluarga, berbanding 73 orang melibatkan  24 keluarga sebelum ini.

Di Setiu, 16 mangsa daripada empat keluarga direkodkan di sebuah PPS sementara Dungun mencatatkan 59 mangsa membabitkan 19 keluarga di tiga PPS.

Di PERAK, 27 orang daripada lapan keluarga di daerah Kerian masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak, Bagan Serai setakat  4.30 petang ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata kesemua mangsa dari Kampung Matang Tengah, Beriah masih menunggu banjir surut, sementara cuaca di kebanyakan tempat di Perak hari ini adalah baik sejak pagi tadi.

Di KELANTAN, banjir di Pasir Mas pulih sepenuhnya selepas satu PPS yang dibuka sejak Ahad lalu ditutup pada 2 petang tadi berikutan keadaan cuaca yang bertambah baik dengan hanya sesekali hujan renyai. 

Pegawai Kebajikan Masyarakat Jajahan Pasir Mas Azizan Aziz berkata kesemua 18 mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh sejak pagi tadi telah dibenarkan pulang.

“Alhamdulillah, keadaan cuaca dilihat semakin bertambah baik selain air di kediaman mereka yang terlibat juga sudah surut dan selamat untuk pulang ke rumah masing-masing,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. 

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");