Perak Hari Ini

Belanjawan Perak 2021 Diluluskan Sebulat Suara

IPOH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak meluluskan Belanjawan Negeri 2021 yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.215 bilion.

Usul yang diluluskan di bawah Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2021 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2021 telah mendapat sokongan sebulat suara oleh kesemua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) .

Belanjawan yang dibentangkan pada Rabu oleh Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad, telah dibahaskan masing-masing enam ADUN dari kerajaan dan pembangkang pada Khamis.

Pada persidangan DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini, Saarani telah membuat penggulungan perbahasan Belanjawan Negeri 2021 yang bermula pada jam 9 pagi tadi.

Speaker DUN Perak, Datuk Muhammad Zahir Abdul Khalid mengumumkan Belanjawan Negeri Perak 2021 diluluskan sebulat suara selepas bacaan kali ketiga.

Zahir kemudian menetapkan bahawa persidangan DUN ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Sebelum ini, Saarani mengumumkan Belanjawan Perak 2021 yang bertemakan Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif’, mencatatkan defisit sebanyak RM154.0 juta, iaitu yang terbesar dalam sejarah belanjawan negeri.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut belanjawan itu memperuntukkan RM785.1 juta sebagai perbelanjaan mengurus, manakala RM430 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

Belanjawan ini memberi fokus untuk menjana pertumbuhan ekonomi seimbang, menitikberatkan keadilan sosial serta menjaga kesejahteraan rakyat, selain meneraju kelestarian sumber dan alam sekitar secara efektif serta memacu pemodenan dan pendigitalan institusi bagi menyediakan penyampaian perkhidmatan awam yang bersih dan terbaik di seluruh negeri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");