Perak Hari Ini
Like

BERSATU Akan Tetap Kekal Dalam PN Di Perak – Ahmad Faizal

December 4, 2020
108 Views
0 Comments
2 minutes read
BERSATU Akan Tetap Kekal Dalam PN Di Perak – Ahmad Faizal

IPOH – Walaupun pengundian usul percaya Menteri Besar Perak tidak berpihak kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, namun beliau memberi keyakinan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kekal dalam Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.

Beliau yang juga Pengerusi BERSATU Perak berharap agar ahli partinya dapat turut berlapang dada dan akan memberi kerjasama baik kepada Menteri Besar baharu yang bakal dilantik kelak.

“Sebelum ini pentadbiran berjalan dengan baik namun mungkin ada yang merasakan ada yang lebih layak menduduki kerusi Menteri Besar.

“Saya berlapang dada dan menerima keputusan itu dan sebagai Pengerusi BERSATU, saya akan cari jalan untuk beri peluang Menteri Besar baharu agar dapat menjalankan tanggungjawabnya.

“Sebagai Menteri Besar ianya tidak boleh melaksanakan tanggungjawabnya sekiranya sentiasa diganggu. Jadi, kestabilan itu amat penting untuk beri perkhidmatan pada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan surat hak milik, Notis 5A dan surat tawaran serta Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Projek Masjid dan Surau di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Selain itu Ahmad Faizal berkata walaupun ada kala mempunyai perasaan merindui ‘rakan-rakan’ dalam Pakatan Harapan (PH), namun beliau tidak akan memberi sokongan baharu kepada pembangkang.

Ini kerana jelas beliau demi kestabilan politik di kala negara sedang menghadapi pandemik COVID-19, beliau mengulangi pendirian bahawa akan menjamin transisi pentadbiran berada dalam keadaan baik.

“Saya berharap perkara ini tidak ‘berjangkit’ ke negeri dan peringkat Persekutuan. Saya berharap semua dapat berlapang dada.

“Seperti di Parlimen di peringkat jawatankuasa, tidak perlu dibuat pengundian belah bahagi di setiap persidangan. Marilah berlapang dada dan buat untuk rakyat.

“Beri sokongan pada kerajaan sekarang dan biar ia bekerja. Apabila ada pilihanraya, barulah kita masuk ke gelanggang dan serahkan kepada rakyat,” jelas beliau.

Ahmad Faizal tidak dapat mempertahankan kedudukannya sebagai Menteri Besar Perak selepas 48 daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak menyokong usul undi percaya terhadapnya dalam persidangan DUN tadi.

Comments are closed.