Perak Hari Ini

Calon MB Perak: Mohon Jangan Buat Apa-apa Spekulasi – Shahrul Zaman

IPOH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak yang juga ADUN Kota Tampan Datuk Saarani Mohamad telah dicalonkan partinya sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

Naib Ketua UMNO Bagan Datuk itu berkata keputusan tersebut telah dibuat secara konsensus dalam kalangan ADUN UMNO.

“Kami semua ADUN UMNO/Barisan Nasional (BN) telah secara konsensus mencalonkan Datuk Saarani, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri sebagai Menteri Besar Perak.

“Saya mohon untuk kita semua tidak membuat apa-apa spekulasi lagi dan kita serahkan kepada kebijaksanaan Sultan Perak untuk mempertimbangkan siapa mempunyai majoriti untuk dipilih sebagai Menteri Besar Perak,” katanya dalam satu hantaran di laman Instagram beliau, hari ini.

Sebelum ini sebuah laman berita melaporkan Shahrul Zaman antara nama yang dicalonkan UMNO negeri sebagai Menteri Besar Perak yang baharu selain Saarani dan Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dilaporkan juga sehingga kini, semua pimpinan UMNO termasuk Presiden Parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak memberikan komen berkenaan siapa calon UMNO bagi Menteri Besar Perak yang seterusnya.

Dalam pada itu Shahrul Zaman yang juga Bekas EXCO Kerajaan Negeri berkata beliau berpegang kepada konsep redha dan tawakal sebagaimana diingatkan ibu bapanya.

Katanya sesebuah jawatan adalah satu tanggungjawab dan ia bukanlah untuk direbut.

“Kita perlu kembali kepada asas. Kita di sini ditugaskan untuk berkhidmat kepada rakyat, dalam apa juga kapasiti yang kita ada. Kita jaga ‘petak’ kita masing-masing.

“Jika kita boleh berpegang kepada semua ini, Insyallah redha Allah untuk kita, negeri dan negara yang kita cintai ini,” tulisnya lagi.

Untuk rekod, dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Jumaat lalu, Menteri Besar Perak ketika itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya yang diusulkan ADUN Pengkalan Bharu, Datuk Abdul Manaf Hashim.

Daripada 59 ADUN, hanya 10 yang menyokong manakala 48 lagi membantah dan satu undi rosak dalam undi belah bahagi yang ditetapkan Speaker DUN Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

DUN Perak mempunyai 59 Adun yang terdiri daripada 25 ADUN BN, Bersatu (5), Pas (3), DAP (16), PKR (3), Amanah (5), Gerakan (1) dan Bebas (1).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");