Perak Hari Ini

DUN Perak: Isu GLC Di Bangkitkan, Pembangkang Cadang Kerajaan Tubuh Jawatankuasa Lantikan

IPOH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang mencadangkan agar Jawatankuasa Pemilihan Kepimpinan Urus Tadbir terhadap Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di Perak dapat ditubuhkan.

ADUN Pinji dari DAP, Howard Lee Chuan How berkata cadangan pembentukan ahli jawatankuasa itu bertujuan memilih dan menentukan individu bagi menduduki kerusi jawatan tertinggi dalam satu-satu GLC negeri.

“Saya mencadangkan agar kerajaan dapat menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Kepimpinan Urus Tadbir GLC yang mana ADUN kerajaan dan pembangkang boleh duduk sekali untuk memilih Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ketua Pegawai Kewangan (CFO) atau mana-mana jawatan tertinggi dalam GLC negeri.

“Ini kerana kebanyakan jawatan tertinggi dalam GLC telah dipegang oleh rakan-rakan dalam parti kerajaan. Dalam soal mahu mereformasikan institusi, dengan penukaran kepimpinan di kerajaan, baik kita tukar juga cara urus tadbir GCL sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Perak 2021 dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Dalam persidangan sama, Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PKR- Hulu Kinta) meminta agar Menteri Besar Perak dapat mengkaji semula gaji CEO di semua GLC negeri.

Katanya GLC negeri seharusnya bertindak membantu kerajaan negeri dari segi pembangunan serta kebajikan masyarakat dalam berskala besar dan tidak hanya sekadar mengagihkan kotak makanan.

Terdahulu ketika membahaskan Belanjawan 2021 Negeri, Mohamad Noor Dawoo (BN – Selinsing) turut membangkitkan soal GCL negeri yang segelintirnya didakwa tidak berfungsi selaras dengan matlamat asal penubuhannya.

Walau bagaimanapun beliau merakamkan tahniah kepada GCL seperti Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) yang sedang berusaha menjayakan program Satu Produk Satu Daerah di seluruh negeri.

Ia juga senada dengan Datuk Aznel Ibrahim (BN – Pengkalan Hulu) yang mana katanya PPPNP pada 4 Disember lalu telah menyerahkan hak milik dan notis 5A kerajaan negeri kepada lebih 3,000 penerima di Pengkalan Hulu.

Katanya PPPNP telah berjaya membantu menyelesaikan masalah berkaitan pemilikan tanah pertanian yang dihadapi penduduk setempat lebih 10 tahun.

“PPPNP baru-baru ini ada mengadakan program dengan memberikan lebih 2,000 anak pokok durian Musang King kepada penduduk di Pengkalan Hulu. Usaha itu terbaik dalam membantu pekebun kecil,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");