Berita Hari Ini

Gesa Kerajaan Naikkan Cukai Tembakau Lima Kali Ganda

SHAH ALAM – Bekas pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa kerajaan mula menaikkan cukai tembakau semula kerana ia cara paling berkesan untuk mencegah tabiat merokok.

Sinar Harian melaporkan, Pakar Kawalan Tembakau, Dr Zarihah Mohd Zain yang membantu merangka peraturan merokok di Malaysia, menggesa kerajaan menaikkan cukai tembakau sebanyak lima kali ganda dan mengabaikan ‘kisah sedih’ pengeluar rokok.

Menurutnya, syarikat terbabit didakwa memperbodohkan kerajaan agar tidak menaikkan cukai tembakau sejak lima tahun lalu untuk mengatasi penjualan rokok seludup yang lebih murah.

“Jika kita mula menaikkan cukai semula, ia akan menyebabkan harga produk tembakau lebih tinggi, cara baik untuk mengurangkan permintaan perokok.

“Sejak lima tahun lalu kerajaan tidak menaikkan cukai, adakah ia berjaya menyelesaikan masalah penyeludupan? Tidak sama sekali. Malah, itulah cara industri tembakau memperbodohkan kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Zarihah mendakwa punca utama rokok di pasaran gelap adalah disebabkan rasuah dalam kalangan penguat kuasa yang membenarkan produk haram itu memasuki negara ini.

“Kerajaan perlu bertindak serentak dengan menghentikan penjualan rokok bebas cukai itu dan mula menyiasat penguat kuasa atas kesalahan rasuah.

“Walaupun industri tembakau menjana pendapatan untuk negara, namun kerajaan turut dibebani kos mengadakan program berhenti merokok, jadi ia tidak berbaloi. Sebaliknya kerajaan perlu sedar bahawa industri ini yang menyebabkan Malaysia kehabisan pendapatan,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba memberitahu Dewan Rakyat, kerajaan mungkin mempertimbangkan penggunaan cukai rokok dan tembakau bagi menampung kos untuk program anti-merokok.

Beliau berkata, dianggarkan terdapat 4.8 juta perokok dalam negara yang meliputi 21 peratus daripada populasi.

Sementara itu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia menyambut baik kenaikan cukai tembakau bagi menampung kos penjagaan kesihatan seperti dilaksanakan negara lain dan disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Penyelaras Kawalan tembakau Fomca, Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, cukai yang dikutip perlu digunakan untuk menyediakan program berhenti merokok.

“Kematian dan penyakit akibat asap tembakau menyebabkan kos penjagaan kesihatan serta produktiviti negara menyusut,” katanya.

Julai lalu, sebuah kumpulan penyokong pengguna global, Consumer Choice Centre memberi amaran jualan dan pembelian rokok seludup yang harganya hanya 1/3 daripada harga produk sah akan terus meningkat tanpa perubahan terhadap cukai tembakau tempatan.

CCC berkata, rokok pasaran gelap menguasai 60 peratus pasaran, menampung kira-kira 5 juta perokok di Malaysia.

Seramai 22,000 perokok dirawat di bawah program berhenti merokok setakat ini, dan tahun lepas saja, kerajaan membelanjakan RM2.8 juta untuk program itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");