Berita Hari Ini

Isu Kartel Daging: Kerajaan Perlu Lebih Bertanggungjawab – MP Ledang

SHAH ALAM – Kerajaan perlu bersikap lebih telus dan bertanggungjawab dalam usahanya mengatasi isu kewujudan kartel daging yang menyeludup makanan mentah itu ke dalam negara.

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, siasatan dan tindakan oleh pelbagai agensi terlibat mesti dilaksanakan segera bagi menjamin hak pengguna untuk mendapatkan daging yang mana status halalnya tidak meragukan.

Menurutnya, beliau dimaklumkan bahawa terdapat pihak membuat laporan kepada pihak berkuasa terlibat di Johor berkaitan perkara tersebut sebelum ini, namun tiada tindakan diambil susulan daripada aduan tersebut.

Sehubungan itu, Syed Ibrahim menggesa agar sebuah usaha bersepadu melibatkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Lembaga Pelabuhan Johor dan negeri lain digerakkan segera demi membanteras aktiviti penyeludupan itu.

“Usaha ini meliputi meninjau kelemahan prosedur, sistem import eksport, kelonggaran pintu masuk serta integriti pegawai yang terlibat.

“Kerajaan perlu mengambil inisiatif mengesan daging beku yang dikenal pasti secara dokumentasi telah diedarkan serta mengambil tindakan sewajarnya sama ada merampas atau menyita demi pengguna.

“Walaupun saya maklum terdapat pemeriksaan dilakukan ke atas premis borong dan peruncit, namun saya percaya laporan berkaitannya perlu telus,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Syed Ibrahim berkata, langkah yang dicadangkan itu boleh diambil sementara menunggu siasatan terperinci dilakukan pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi PKR Johor berkata, kerajaan perlu menjelaskan dengan segera bidang kuasa agensi bertanggungjawab bagi mengelakkan sebarang masalah berpunca daripada karenah birokrasi.

“Selesaikan segera bidang kuasa agensi terlibat supaya tidak timbul konflik kelewatan atau birokrasi memandangkan banyak pihak terlibat seperti JKDM, Maqis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan lain-lain.

“Saya khuatir terdapat pertindihan perundangan dan bidang kuasa sehingga menjejaskan tindakan membanteras dan menjaga kepentingan rakyat khususnya yang beragama Islam,” katanya.

Beliau berkata, semua kementerian dan agensi terlibat perlu tampil ke hadapan dan berani menggalas tanggungjawab untuk bersemuka dengan rakyat dalam isu terbabit dengan segera.

“Maklumat mengenai pihak yang bersekongkol dalam jenayah penyeludupan, komplot kartel termasuk pemegang Permit Import (AP) serta perasuh perlu diberikan kepada seluruh rakyat dan seterusnya diadili mengikut undang-undang tanpa mengira pangkat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");