Perak Hari Ini

‘Jangan Cuba Lari Keluar Dari PKPD’

IPOH – Penduduk di Zon A Taman Klebang Jaya dan Zon B Taman Pinji Mewah di sini diingatkan supaya tidak membuat sebarang cubaan melarikan diri atau keluar dari kawasan kediaman susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang berkuatkuasa mulai hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata sekiranya ada penghuni rumah yang dikesan berbuat demikian sebelum tengah malam tadi, pihaknya berusaha menjejaki individu berkenaan.

“Ujian saringan komuniti COVID-19 telah dibuat sebelum ini. Justeru sekiranya ada berlaku sedemikian, kita akan membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah.

“Sekiranya benar berlaku, kita akan mengesan mereka. Ini kerana segala maklumat berkaitan pemilik ataupun penyewa di setiap rumah dalam kawasan PKPD kita memang ada,” katanya.

Tambahnya semua laluan utama mahupun laluan tikus dan laluan utama telah ditutup mulai tengah malam tadi selain ianya akan dipantau oleh anggota unit beruniform.

Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan PKPD hari pertama di Taman Pinji Mewah, di sini, hari ini.

A. Asmadi Abdul Aziz

Semalam kerajaan mengumumkan perlaksanaan PKPD di Zon A Taman Klebang Jaya dan Zon B Taman Pinji Mewah susulan kes positif COVID-19 membabitkan pekerja di Kilang Kamaya dan Kilang Salutica dilaporkan sudah merebak ke kawasan kediaman mereka di situ.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Taman Klebang Jaya membabitkan 1,061 rumah dan 4,244 penduduk manakala Taman Pinji Mewah terdiri daripada 1,430 rumah, 44 kedai dan pejabat serta 5,720 penduduk.

Mengulas lanjut, Asmadi berkata, seramai 90 anggota unit beruniform yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) masing-masing ditempatkan di dua lokaliti itu untuk penugasan PKPD.

Tambah beliau, pasukan unit Kereta Peronda Polis (MPV) turut digerakkan bagi memberi hebahan awam atau sebarang maklumat berkaitan PKPD terhadap penduduk di kawasan terlibat.

“Penduduk diminta untuk bertenang dalam tempoh PKPD ini kerana Ujian saringan komuniti COVID-19 telah dibuat dan PKPD ini dilaksanakan bagi memastikan tiada penularan keluar wabak berkenaan,” katanya.

Untuk rekod setakat ini sebanyak tiga lokasi di bandar raya ini telah dikenakan PKPD 14 hari selepas Zon B dan C, Taman Meru 2C yang dijadualkan berakhir pada 3 Disember ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");