Berita Hari Ini
Like

K. Rajagobal Sah Jadi Ketua Jurulatih Brunei

December 2, 2020
173 Views
0 Comments
3 minutes read
K. Rajagobal Sah Jadi Ketua Jurulatih Brunei

KUALA LUMPUR – Pelantikan bekas pengendali skuad negara Datuk K. Rajagobal sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Brunei membuktikan kelebihan dimiliki jurulatih tempatan, kata Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) B. Sathianathan.

Tatkala pasukan Liga Malaysia (Liga-M) kini lebih cenderung mengambil jurulatih asing membimbing pasukan, Sathinathan berkata berita membanggakan itu memperlihatkan keyakinan serta kepercayaan pihak luar terhadap kemampuan dan kualiti dimiliki jurulatih tempatan.

“Kita berbangga kerana seorang jurulatih dari Malaysia dilantik dan mendapat kepercayaan di peringkat antarabangsa. Ini akan membuka mata ramai pihak di luar sana bahawa jurulatih tempatan memiliki daya tarikan dan masih laku.

“Sebagai presiden PJBM saya mengalu-alukan pelantikan beliau dan harap beliau dapat berikan yang terbaik. Kita semua yakin beliau (Rajagobal) boleh bawa Brunei ke satu tahap berbeza,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Rajagobal hari ini mengesahkan menerima tawaran sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Brunei dengan kontrak dua tahun berkuat kuasa Januari 2021.

Pasukan Brunei kini menduduki ranking ke-191 dunia dan dijadual beraksi pada pusingan kelayakan dalam usaha membuat penampilan sulung pada kempen Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2021 yang dijadual bermula April.

Menurut Sathianathan, pengalaman cemerlang Rajagobal yang diberi jolokan ‘King Gobal’ di pentas antarabangsa sewaktu membimbing Malaysia dari 2009 hingga 2013 menjadi sandaran terbaik untuk membawa perubahan terhadap pasukan Brunei.

“Kita tahu bagaimana tahap pasukan Brunei ketika ini, saya berharap dengan pengalaman beliau di peringkat antarabangsa dan episod bersejarah menjadi johan Kejuaraan AFF digunakan sebaik mungkin bersama Brunei.

“Secara amnya memang lebih mudah melatih kelab berbanding pasukan negara kerana jurulatih tidak mempunyai banyak masa bersama pemain serta kebergantungan kepada pasukan kelab dalam memastikan kecergasan pemain di tahap terbaik,” jelas bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu.

Rajagobal merupakan individu bertanggungjawab membawa Malaysia muncul juara Kejuaraan AFF buat julung kali pada 2010 selain turut membimbing skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan mengakhiri kemarau 20 tahun meraih pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Laos.

Di peringkat kelab, beliau yang memiliki pengalaman 30 tahun selaku jurulatih pernah menabur bakti bersama beberapa pasukan utama antaranya PKNS FC, Selangor, Kelantan dan Sarawak sebelum kembali membimbing PKNS FC dari 2017-2019.

— BERNAMA

Komen & Pendapat

Comments are closed.