Berita Hari Ini
Like

Kartel Daging: Sindiket Dalam Dan Luar Negara Dipercayai Terlibat

December 30, 2020
240 Views
0 Comments
2 minutes read
Kartel Daging: Sindiket Dalam Dan Luar Negara Dipercayai Terlibat

KUALA LUMPUR – Polis percaya kegiatan kartel daging import yang menggunakan label halal palsu melibatkan rangkaian luas serta didalangi sindiket dalam dan luar negara, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

Bernama melaporkan beliau berkata ia berdasarkan jumlah dan nilai rampasan serta sitaan yang terlibat sebelum ini.

“Siasatan berhubung kegiatan itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam.

“Selain itu, siasatan merangkumi pihak terlibat dalam pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan, penyeludupan, pihak yang memanipulasi, bersubahat dan membawa masuk daging beku melalui Permit Import (AP),” katanya dalam kenyataan.

Huzir berkata setakat ini polis menerima 13 laporan daripada orang awam di seluruh negara yang gusar dengan kemunculan isu berkenaan.

Isu kartel daging import mula mendapat perhatian ramai selepas media baru-baru ini melaporkan taktik kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan menggunakan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.

“PDRM memandang serius dan komited untuk menanganinya dengan jaringan kerjasama agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin serta Pemeriksaan Malaysia dan Jabatan Kastam,” kata Huzir.

Beliau berkata tindakan ke atas sindiket ini adalah wajar kerana ia mencetuskan kegusaran rakyat Malaysia serta menyentuh sensitiviti agama Islam.

“Sindiket ini juga mencetuskan ketidakpuasan hati dan mengancam ketenteraman dalam negara akibat perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab, menjejaskan imej negara sebagai hub halal dan memberi kesan besar kepada sektor ekonomi negara,” katanya. 

Komen & Pendapat

Comments are closed.