Berita Hari Ini

Kebenaran Rentas Negeri Sokong Aktiviti Ekonomi

KUALA LUMPUR: Kebenaran merentas negeri dan daerah dan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa kawasan dijangka merangsang aktiviti ekonomi dan perniagaan dalam skala yang lebih meluas, demikian menurut penganalisis.

Mereka berkata, langkah kawalan pergerakan yang bersasar akan menyokong aktiviti ekonomi domestik, sekali gus meletakkan landasan yang utuh untuk pemulihan ekonomi yang terkesan oleh pandemik COVID-19.

Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata langkah terbaharu diumumkan kerajaan akan merangsang aktiviti perniagaan secara langsung dan dalam skala yang lebih luas kepada keseluruhan ekosistem perniagaan domestik.

Beliau berkata, ia juga dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara terutama pada suku keempat tahun ini, sekali gus memberikan momentum positif kepada ekonomi negara untuk berkembang pada kadar yang lebih baik pada tahun depan.

“Ini sememangnya memberi kelegaan kepada peniaga tempatan terutama yang berada dalam sektor pelancongan, peruncitan, serta perhotelan dan juga dalam sektor lain seperti pertanian, pembuatan, perkhidmatan dan juga pembinaan. 

“Peniaga majoritinya dalam industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS), PKS mikro dan juga mereka yang berada dalam industri formal dan tidak formal akan mendapat faedah hasil daripada keputusan ini,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kesan kebenaran merentas negeri dan penamatan PKPB di beberapa kawasan terhadap aktiviti ekonomi negara.

Pergerakan merentas daerah dan negeri dibenarkan di seluruh negara, kecuali di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), bermula hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bermula hari ini, polis tidak lagi akan melaksanakan sekatan jalan raya, sebaliknya menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Mengulas lanjut pengumuman berkenaan, Irwan Shah berkata, keputusan penamatan PKPB secara khusus akan merancakkan lagi aktiviti pelancongan domestik sebagai pelengkap kepada inisiatif gelembung perjalanan domestik yang diperkenalkan kerajaan baru-baru ini.

Namun begitu, beliau berkata, pemulihan ekonomi dijangka berbeza mengikut sektor, contohnya, sektor pelancongan dilihat akan pulih hanya pada sekitar suku keempat tahun ini dan juga suku pertama tahun depan. 

Katanya, ia berikutan sektor berkenaan memerlukan pelancong dari luar untuk benar pulih daripada kesan pandemik COVID-19.

“Penemuan vaksin COVID-19 dijangka akan memberikan harapan baharu kepada sektor ini untuk meneruskan momentum pemulihan pada tahun depan, sekali gus memberikan kelegaan pada sektor penerbangan dan perhotelan. 

“Namun, semua ini bergantung kepada kejayaan penghasilan vaksin COVID-19 yang benar selamat dan juga keupayaan kita dan dunia untuk bersama-sama melandaikan lengkung jangkitan COVID-19 pada tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata penamatan PKPB di beberapa kawasan dan kebenaran rentas negeri akan kembali merancakkan pemulihan ekonomi negara terutama sektor yang terjejas teruk seperti sektor pelancongan, hospitaliti dan pengangkutan. 

Namun, tegasnya, pemulihan itu tidak akan mencapai tahap sebelum pandemik bermula kerana Malaysia turut bergantung kepada pergerakan merentasi sempadan negara iaitu dari segi pelancong asing, pekerja warga asing dan ekspatriat.

“Walaupun penamatan PKPB ini adalah membantu, pengedaran vaksin tahun depan dan kemasukan semula pelancong asing akan lebih memberi impak yang besar kepada pemulihan ekonomi atas sebab ia memberi keyakinan kepada pembeli dan pelancong untuk berjalan dan membeli belah, di samping meningkatkan keyakinan pelabur untuk kembali melabur di Malaysia,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");