Perak Hari Ini

Kerajaan Perak Diminta Luaskan Pelaburan Ke Slim

IPOH – Kerajaan Perak diminta untuk memperluaskan lagi pelaburan dan sektor perindustrian ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim khususnya yang berada dalam Mualim.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz berkata dengan adanya kilang automotif Proton City di Tanjung Malim, maka kerajaan negeri diharap dapat memaksimumkan sektor perindustrian sehingga ke kawasan tersebut.

“Saya merasakan di kita ada lima susur keluar lebuh raya membabitkan susur keluar berhampiran Tanjung Malim ke Bidor.

“Pada masa sama, kedudukan Slim juga berada di tengah-tengah yang mana hanya mengambil tempoh masa sekitar satu jam antara Slim ke Kuala Lumpur mahupun ke Ipoh.

“Justeru amat wajar sekiranya kawasan amnya di Mualim ini dapat dibangunkan lebih serius dan dapat kita menarik pelabur daripada luar untuk melabur di Mualim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Perak 2021 dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Selain itu, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (BN – Pangkor) ketika mencelah mencadangkan agar kerajaan dapat melihat semula Pelan Pembangunan Wilayah Perak Selatan (WPS) yang telah dirangka pada 2017.

Mohd Zaidi kemudiannya bersetuju dengan perkara tersebut selain meminta agar Menteri Besar dan Barisan EXCO Kerajaan Negeri dapat memperhalusi pelan tersebut demi kebaikan rakyat.

“Berkenaan pelan tersebut, amat wajar sekiranya Menteri Besar dan EXCO Kerajaan Negeri memperhalusi dan melaksanakan semula. Ia amat diperlukan bagi membangunkan kawasan jajaran Batang Padang-Mualim,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta kerajaan negeri untuk membangunkan semula kemudahan infrastruktur terutama sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah agama rakyat di Mualim agar secara tidak langsung ia dapat memajukan kawasan terlibat.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad ketika membentangkan Belanjawan Perak 2021 berkata, setakat ini, nilai pelaburan yang telah direalisasikan dalam pelbagai sektor di Perak dari 1 Januari sehingga 31 Oktober pada tahun ini ialah sebanyak RM1.98 bilion.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");