Perak Hari Ini, Berita Hari Ini

Kerajaan Perlu Terus Imbangi Bantu Rakyat, Bangunkan Ekonomi

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu terus mengimbangi keperluan membantu golongan yang terjejas akibat COVID-19 secara bersasar dan membangunkan projek ekonomi bagi menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

Pakar Ekonomi Penggunaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Laily Paim, berkata jangkaan bahawa lebih ramai rakyat negara ini akan memasuki kategori berpendapatan rendah (B40) memerlukan kerajaan untuk lebih proaktif dalam menyediakan program membantu memulihkan ekonomi negara dan isi rumah.

Katanya, peningkatan bilangan rakyat yang akan memasuki kategori itu juga akan mengakibatkan purata pendapatan isi rumah negara akan menurun, sekali gus akan melambatkan matlamat Malaysia untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

“Proses untuk mencapai status negara maju akan menjadi lebih perlahan kerana banyak usaha yang perlu dilakukan kerajaan untuk meningkatkan semula purata pendapatan itu. Bagaimanapun, banyak negara yang akan berdepan situasi sama.

“Justeru, usaha membantu rakyat dan memulihkan ekonomi itu perlu dilakukan secara seimbang supaya matlamat pemulihan secara menyeluruh dapat dicapai,” katanya kepada BH.

Hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan sedang menjalankan kajian menyeluruh bagi mengenal pasti taraf kemiskinan baharu rakyat negara ini, yang terkesan susulan penularan wabak COVID-19.

Kerajaan menjangka lebih ramai rakyat dalam B40 akan terjejas berikutan ada yang dibuang kerja, selain peniaga kecil tidak dapat berniaga seperti biasa, dan akan menyebabkan kemungkinan akan ada yang memasuki tahap B50 dan B60.

Mengulas lanjut, Laily yang juga Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga (MACFEA), berkata terdapat golongan rakyat yang akan perlu dibantu secara langsung dan ada pula yang memerlukan pekerjaan.

“Projek ekonomi perlu terus berjalan kerana ia akan menyediakan peluang pekerjaan bagi rakyat yang mahu dan mampu bekerja, sekali gus menggerakkan usaha kita untuk menuju status negara maju.

“Pada masa sama, ada golongan yang benar-benar terkesan kedudukan ekonominya dan sukar untuk pulih, ini juga perlu diberikan perhatian,” katanya.

–Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");