Berita Hari Ini

Kerajaan Tidak Lepas Tangan Isu Kartel Daging Import – Zulkifli

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri meminta masyarakat tidak salah anggap dan menuding jari mengatakan pihaknya bersikap lepas tangan dalam menangani isu kartel daging import.

BH Online melaporkan beliau berkata perkara itu penting kerana ia membabitkan umat Islam.

Katanya, beliau ada menerima beberapa tangkap layar mengenai laporan media selain terdapat segelintir pihak mempersoalkan kenyataan dikeluarkan pihaknya sebelum ini membabitkan isu berkenaan.

“Ada pihak mendakwa seolah-olah saya lepas tangan dan tidak serius dalam menangani masalah ini.

“Kenyataan itu adalah asas kepada dua pilihan yang dikemukakan sebagai jawapan pertanyaan wartawan ketika sidang media diadakan,” katanya menerusi mesej Twitter hari ini.

Zulkifli berkata, kenyataan beliau semalam adalah bagi menjawab pertanyaan wartawan berhubung pandangan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim yang menyarankan untuk mengelak makan daging import.

Katanya, beliau amat menghormati pandangan Zamri kerana itu juga antara pilihan yang tersedia untuk umat Islam.

Pada masa sama, katanya, beliau perlu mengingatkan yang umat Islam di negara ini ada banyak pembekal daging import dalam kalangan Bumiputera Muslim yang juga pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah.

Zulkifli berkata, umat Islam boleh membuat semakan terhadap status pihak terbabit melalui laman halal.gov.my.

“Justeru, dengan meraikan pandangan sahabat saya Timbalan Mufti Perak, juga suara pembekal daging import dalam kalangan Bumiputera Muslim yang tidak terbabit dalam hal ini, itulah pilihan yang saya kemukakan.

“Saya yakin kita semua bersetuju bahawa pembekal daging import dalam kalangan Bumiputera Muslim yang tidak bersalah, tidak wajar terpalit sama dalam isu ini,” katanya.

Zulkifli juga menyentuh sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud ‘tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu’.

“Saya amat berharap kenyataan ini tidak disalah anggap sebagai saya bersikap lepas tangan terhadap isu yang penting bagi umat Islam ini,” katanya.

Semalam media melaporkan, Zulkifli sebagai berkata, umat Islam mempunyai hak untuk membuat pilihan sama ada terus memakan daging import atau sebaliknya, bergantung kepada keyakinan masing-masing.

Beliau ketika itu menjawab soalan wartawan selepas merasmikan Program Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) di Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Dalam sidang media itu, Zulkifli berkata, pihak berwajib seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta mufti sudah memberikan kenyataan dan pandangan masing-masing serta ia turut dibahaskan di Dewan Negara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");