Berita Hari Ini

Kerajaan Tunggu Maklum Balas Penganjur Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020

Kota Bharu: Kerajaan sedang menunggu maklum balas daripada penganjur pertandingan Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 yang akan diadakan pada awal Januari hadapan.

Harian Metro melaporkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sudah mengadakan pertemuan dengan pihak penganjur bagi membincangkan pembatalan program berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya berpendirian penganjuran program itu tidak sesuai diadakan di negara ini kerana ia membabitkan soal hukum.

“Selain itu, negara kita juga masih lagi belum bebas dengan wabak Covid-19 dan perlu dielak sebarang perhimpunan atau pertemuan dalam kelompok ramai yang dijangka boleh menjadi penyebab kepada penularan jangkitan ini.

“Jadi seboleh-bolehnya dielakkan untuk mengadakan perhimpunan dan pertemuan walaupun pihak penganjur memenuhi kriteria,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Berkhatan Parlimen Pengkalan Chepa 2020, di sini, hari ini.

Ahmad Marzuk berkata, dalam keadaan negara berhadapan dengan wabak Covid-19, rakyat memohon kepada Allah supaya pandemik ini berakhir.

“Sebolehnya semua pihak perlu berikhtiar untuk menjaga tatasusila, adab dan juga soal hukum supaya tidak mengundang kemurkaan Allah SWT,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Marzuk berkata, pihaknya mengadakan pertemuan dengan 80 pendakwah selebriti yang mempunyai penyokong serta peminat mereka sendiri, baru-baru ini.

Menurutnya, pertemuan itu bertujuan menyatakan aspirasi kerajaan dan memberi cadangan kepada mereka untuk mempelbagaikan pengisian di televisyen selain program bersifat holistik.

“Kita tahu bahawa peranan media di sesebuah negara dijadikan sebagai alat untuk membentuk perilaku dan akhlak masyarakat melalui drama, cerita-cerita pendek dan filem yang akan mempengaruhi masyarakat.

“Justeru, kita mengambil inisiatif dengan bertanya pandangan pendakwah selebriti dan semua cadangan itu akan diproses dan disesuaikan mengikut pelaksanaannya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");